'SHARE LIFE, GIVE BLOOD' BERJAYA KUMPUL 129 BEG DARAH SEMPENA PROMOSI HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA
KOTA BHARU, KELANTAN, 24 Jun 2024 – Program Pendermaan Darah dan Khidmat Komuniti sempena Hari Penderma Darah Sedunia 2024 anjuran Unit Perubatan Transfusi (UPT), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan bahawa UPT sentiasa komited memainkan peranan sebagai sebuah unit yang cakna komuniti dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah.
Program yang berlangsung di KB Mall pada 22 Jun lalu agak istimewa kerana buat pertama kalinya ia mendapat tajaan Bank Rakyat sebagai penaja utama dan MPTS Construction Sdn. Bhd. sebagai penaja bersama.
Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) yang mewakili Pengarah Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, beliau amat berbesar hati dan berasa gembira kerana dapat bersama-sama meraikan para penderma darah di samping menarik minat komuniti untuk menderma darah dan menjadi penderma tegar.
“Para penderma darah merupakan tonggak utama kesejahteraan pesakit Hospital USM dan kesudian para penderma untuk menderma darah amat dihargai.
“Kerjasama erat yang diberikan oleh para penganjur program ini juga amat penting dalam menjamin kestabilan bekalan darah di Hospital USM,” ujarnya semasa berucap merasmikan program tersebut.
Tambah Mohd Imran, statistik penggunaan darah di Hospital USM menunjukkan peningkatan iaitu daripada sekitar 10,000 setahun kepada 12,000 setahun.
“Peningkatan ini adalah sejajar dengan pertambahan unit-unit kritikal di Hospital USM seperti Unit Kardiotorasik, Unit Hepatobiliari dan juga Unit Rawatan Kritikal di Hospital USM.
“Kesemua unit ini dapat berfungsi secara optimum kerana kesudian dan jasa baik penderma darah kepada pesakit,” jelasnya lagi.
Mohd Imran berkata, pengurusan Hospital USM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Unit Klinikal dan Unit Rehabilitasi yang turut sama menyumbang tenaga menjalankan khidmat komuniti sepanjang program tersebut berlangsung.
“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang untuk mengeratkan jalinan kerjasama antara para penderma darah, penganjur program derma darah dan Hospital USM.
"Saya juga menyarankan kepada masyarakat untuk mengambil peluang bergelar penderma darah kerana sumbangan ini pastinya sangat membantu mereka yang memerlukan darah,” katanya.
Program yang bertemakan ‘Share Life, Give Blood’ itu berjaya mengumpul 129 beg darah dilihat memberi peluang kepada komuniti sekitar untuk menderma darah selain menambah stok darah sedia ada bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit.
Selain itu, program berkenaan turut diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pemeriksaan saringan asas kesihatan, perkhidmatan perubatan pemulihan dan pameran, perkhidmatan rundingan kewangan, perkhidmatan pengurusan sumber manusia, ceramah, permainan dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pemangku Penolong Pengurus, Bank Rakyat cawangan Kubang Kerian, Ahmad Sulhi Nawawi; Pengurus Kewangan, MPTS Construction Sdn. Bhd., Chriss Teng Poo Shiuan; Pengurus Kanan, KB Mall, Vincent Khor; Pemangku Ketua Jabatan Hematologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Shafini Mohamed Yusoff dan Pengarah Program, Dr. Siti Asmaa Mat Jusoh.
Teks: Marlina Zahari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .