Unit Perubatan Transfusi mula beroperasi pada 01 Ogos 1983 dengan menyediakan perkhidmatan diagnostik, terapeutik, penyelidikan, dan pembelajaran. Sebelum ini dikenali dengan nama Unit Tabung Darah, ia secara rasmi telah ditukar nama kepada Unit Perubatan Transfusi bermula pada 01 Jun 2003.
Unit ini mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Januari 1984 dengan kakitangan seramai 13 orang yang diketuai oleh seorang Pegawai Perubatan. Pada 22 Januari 1984, Makmal Tabung Darah mula menawarkan ujian-ujian yang bersangkutan dengan penggunaan darah kepada pesakit dan menghasilkan komponen darah untuk kegunaan transfusi. Selaras dengan perkembangan dalam bidang transfusi, unit ini bukan sahaja berfungsi membekalkan darah, malah turut memberikan khidmat terapeutik.
Selaras dengan objektif universiti untuk menjadikan USM sebagai pusat rujukan dan penyelidikan pakar dari dalam dan luar negara, unit ini juga sentiasa menilai dan membentuk perkhidmatan-perkhidmatan baru yang berkaitan dengan bidang perubatan transfusi.