Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

ZAHIRKAN JIWA MERDEKA DENGAN PELBAGAI AKTIVITI BERMANFAAT TANDA SAYANGKAN NEGARA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 September 2024 – Bagi menzahirkan semangat patriotik sempena Hari Kemerdekaan negara yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun, seramai 67 orang staf Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mendaki Bukit Keluang, Besut Terengganu dan mengibar jalur gemilang selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ yang merupakan perlambangan kepada kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasi semangat patriotisme dan cintakan negara.

IMG 20240902 WA0016

Lebih menarik lagi, program ini disertai 67 orang staf sempena 67 tahun negara mencapai kemerdekaan. Menyambut Hari Kebangsaan dengan cara meluangkan masa bersama rakan sekerja dan ahli keluarga merupakan aktiviti yang bermanfaat di samping memupuk semangat bekerjasama dan saling membantu rakan-rakan untuk sama-sama sampai ke puncak bukit. Kerjasama yang ditonjolkan dapat diterjemahkan kepada satu pasukan yang lebih padu, maju dan berdaya saing.

IMG 20240902 WA0017

Selain mendaki, pelbagai aktiviti lain turut diadakan sebagai pengisian program ini antaranya mengutip sampah dan membersih kawasan sekitar pantai, pertandingan mewarna serta senamrobik.

IMG 20240902 WA0018

Program Mengibar Jalur Gemilang Di Puncak Bukit Keluang anjuran Unit Klinikal ini berteraskan nilai Malaysia Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, hormat, keyakinan dan insan. Selain itu, ia juga turut menekankan matlamat kelestarian iaitu kesihatan yang baik dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti serta penjagaan alam sekitar.

IMG 20240902 WA0020

IMG 20240902 WA0019

Sumber Laporan: Mirawaty Mat Ghani dan Dr. Shahrizal Mustafa / Foto: Mohamad Hairi Izwan Ismail dan Wan Mohd Harisuddin Wan Hussain

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 47