Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

'WE HEAR AND WE CARE' - SOLIDARITI HOSPITAL USM BUAT PESAKIT KANSER

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Februari 2024 – “Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) memberi pengiktirafan, kecaknaan serta solidariti kepada pesakit dan keluarga pesakit dengan iltizam ‘We hear and We Care’, iaitu kami mendengar dan mencuba untuk fahami apa yang pesakit lalui dan kami cakna akan keperluan rawatan serta sokongan kepada semua pesakit,” demikian petikan ucapan Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Abdul Rahman ketika merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2024, hari ini.

d3746580 9b27 4e63 b27c 29922f74740c

Menurut beliau, sambutan itu juga diadakan sebagai memberi penghargaan kepada kumpulan perawat yang sentiasa berkerja keras untuk memberikan rawatan terbaik kepada para pesakit.

“Mereka (perawat) bukan sahaja merawat tetapi turut mendidik, mencegah, menyaring, memberi khidmat nasihat, memberi sokongan emosi dan sebagainya.

“Ini kerana mereka faham bahawa penyakit kanser bukan diminta atau akibat daripada kejadian lampau, tetapi ia salah satu ujian dari yang Esa. Maka, mereka telah berikrar akan memberi yang terbaik buat semua pesakit,” ujarnya.

5dc7c8b0 c1c0 4952 a0f2 34082867f0f7

Nik Hisamuddin berkata, Hospital USM merupakan satu-satunya pusat rujukan rawatan kanser di Pantai Timur terutamanya bagi rawatan radioterapi selain turut menerima semua rujukan pesakit dari hospital segenap pelosok Kelantan dan Terengganu serta adakalanya dari Pahang dan Utara Semenanjung Malaysia.

“Hospital USM sentiasa komited dalam memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik dengan menyediakan alatan dan infrastukur yang kondusif.

4a64b25e 3ed8 4ce8 9326 cb4bc43b1c08

“Selain itu, dalam usaha memberi nilai tambah keperluan rawatan serta sokongan kepada semua pesakit kanser, mesin ‘CT-Simulator’ yang baharu iaitu ‘CT Canon Aquillon Lb’ yang dilengkapi alat canggih dan terkini iaitu ‘surface guided c-rad sentinel’ turut disediakan.

“Penggunaan mesin ini merupakan satu langkah yang penting dalam meningkatkan kemampuan perkhidmatan radioterapi Hospital USM untuk menyediakan rawatan yang lebih terkini, tepat serta berkesan kepada pesakit. Di samping keupayaan pengimejan biasa, mesin ini juga dilengkapi dengan kemampuan pengimejan 4D-CT,” jelasnya lagi.

6ade75e0 bd80 446e 8840 1956bc0d14b8

Tambah Nik Hisamuddin, Hospital USM akan menerima satu lagi mesin rawatan radioterapi baharu tidak lama lagi.

“Insya-Allah, mesin itu akan diperoleh pada penghujung tahun ini dan saya berharap agar Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi akan memberi rawatan yang lebih baik dan efisien kepada pesakit di sini.

417c9ca1 1cc6 461f ad60 6a585873d92c

“Apa yang dapat saya katakan ialah segala usaha ini membuktikan bahawa pihak Pengurusan Hospital USM cakna terhadap kemudahan dan kebajikan pesakit kanser selain sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada mereka,” katanya.

Sambutan tersebut turut diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pameran kanser, pemeriksaan kesihatan, ujian saringan kanser dan kuiz yang berlangsung selama dua (2) hari.

a3c62fe5 1707 432a a654 959103bc1ae6

Turut hadir ialah Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi, PPSP, Dr. Norazlina Mat Nawi; Pengerusi Program Sambutan Hari Kanser Sedunia 2024, Dr. Wan Mohd Nazri Wan Zainon; Ketua Penyelaras ‘Wellness Cancer Day’, Dr. Wan Fatihah Wan Sohaimi dan Ketua Penyelaras ‘CT-Simulator’, Dr. Ahmad Lutfi Yusoff.

Teks: Marlina Zahari / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 53