Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

WARGA HOSPITAL USM KOMITED MEMPERKASA AGENDA KELESTARIAN UNIVERSITI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Ogos 2023 – Kesungguhan, komitmen dan konsisten merupakan antara elemen penting dalam perancangan apa jua strategi bagi memastikan ianya berjaya. Ketiga-tiga elemen tersebut hari ini diterjemahkan menerusi ‘Town Hall’ dan Majlis Pelancaran Program Kelestarian Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).
 
IMG 20230810 WA0060
 
Pengarah bersama pengurusan dan warga Hospital USM segenap lapisan hari ini senada dalam usaha melestarikan alam sekitar sebagai bukti sokongan berterusan agenda Universiti APEX berkenaan pelaksanaan urusan kelestarian dan kesejahteraan kampus yang dilaksanakan universiti.
 
IMG 20230810 WA0054
 
Menurut Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman, agenda kelestarian bukan sesuatu yang baharu bagi warga USM.
 
“Pelbagai usaha telah dibuat dan ini terbukti dengan pencapaian universiti mengekalkan kedudukan keempat terbaik dunia dalam senarai terkini ‘The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023’.
 
IMG 20230810 WA0055
 
“Ia sekaligus meletakkan USM di kedudukan pertama di Asia dalam ‘ranking’ kelestarian selain unggul di kedudukan pertama dalam ‘Sustainable Development Goals’ (SDG) SDG16 iaitu Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh. 
 
“Oleh itu, kita sebagai salah satu pusat tanggungjawab (PTJ) di USM tidak seharusnya ketinggalan dalam usaha ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
 
IMG 20230810 WA0056
 
Tambah Nik Hisamuddin, pelaksanaan amalan hijau dalam pengurusan fasiliti hospital berupaya memberikan penjimatan tenaga yang optimum, mengurangkan kos utiliti dan perbelanjaan operasi hospital, menyediakan kualiti udara dalaman yang baik di samping meningkatkan prestasi dan keupayaan keseluruhan bangunan.  
 
“Beberapa Hospital di Malaysia telah mendapat pengiktirafan sebagai Hospital Hijau di peringkat antarabangsa dalam aspek pembangunan mampan dengan mengutamakan pematuhan piawaian dan pelaksanaan amalan hijau bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, sihat dan kondusif.
 
IMG 20230810 WA0059
 
“Oleh itu, saya menyeru semua warga Hospital USM menyahut cabaran bagi mengangkat Hospital USM sebagai salah sebuah Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang turut mendapat pengiktirafan ini suatu hari nanti,” ujarnya lagi.
 
Selain itu, Nik Hisamuddin turut menyeru warga Hospital USM untuk bersama-sama berganding bahu memperkasa agenda kelestarian dalam operasi harian di Hospital USM agar ianya memberi manfaat kepada semua pihak bukan hanya kepada hospital khususnya tetapi kepada universiti amnya. 
 
IMG 20230810 WA0061
 
IMG 20230810 WA0057
 
Pelancaran program ini telah disempurnakan dengan penanaman pokok oleh Pengurusan Hospital USM serta sesi lawatan tapak Projek Kelestarian 'Go Green' Blok Pentadbiran Hospital USM yang melibatkan semua unit dan jabatan di bangunan tersebut.
 
IMG 20230810 WA0058
 
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Klinikal), Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Operasi), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) yang juga Pengerusi Program Kelestarian Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud, Timbalan Pendaftar Kanan, Mohd Saberi Mohd Yusoff; Penyelaras Kelestarian Kampus Kesihatan USM, Dr. Vina Tan Phei Sean dan ketua-ketua jabatan serta unit Hospital USM.
 
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 48