VAPE 'GATEWAY' TABIAT MEROKOK DALAM KALANGAN REMAJA, CEGAH SEBELUM PARAH
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 September 2024 – Rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai ‘vape’ adalah produk merokok alaf baharu yang komponen utamanya terdiri daripada bateri, katrij cecair 'vape' serta ‘atomizer’ untuk memanaskan cecair.
Alat ini berfungsi dengan memanaskan cecair dikenali sebagai ‘e-juice’ atau ‘e-liquid’ yang kemudiannya menghasilkan wap atau aerosol yang disedut masuk ke dalam salur pernafasan dan paru-paru sebelum sebahagiannya dihembus keluar oleh pengguna. Cecair ini biasanya mengandungi nikotin, perisa (flavor) ditambah dengan bahan-bahan lain seperti ‘propylene glycol’ dan ‘glycerin’.
‘Vape’ sering dianggap sebagai alternatif kepada kaedah merokok tradisional, namun ia turut menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada kesihatan terutama jika digunakan oleh golongan muda.
Menurut Pakar Perubatan Keluarga yang juga Penyelaras Klinik Berhenti Merokok - Klinik Rawatan Keluarga, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Suhaila Idris, ‘vape’ berevolusi sangat pantas iaitu bermula dengan generasi pertama berbentuk seperti rokok konvensional yang digunakan secara pakai buang dan seterusnya beralih kepada generasi kedua yang berbentuk seperti pen.
“Ia kemudiannya beralih kepada generasi ketiga yang dikenali sebagai ‘mod’ dan mempunyai tangki serta boleh dibuat isian semula katrij dan bersaiz lebih besar sebelum beralih ke generasi keempat dikenali sebagai ‘pod’ yang lebih mesra pengguna, bersaiz kecil seperti ‘pendrive’ serta dikeluarkan dalam bentuk-bentuk yang menarik perhatian umum terutama golongan remaja dan kanak-kanak.
"Terkini, terdapat juga produk merokok eletronik yang dinamakan 'Heated tobbaco products' (HTPs) yang berkonsepkan pemanasan tembakau dan bukan dibakar seperti rokok konvensional.
“’Vape’ terdiri daripada dua (2) jenis iaitu yang mempunyai sistem terbuka di mana katrij cecair ‘vape’ boleh dibuka dan dibuat isian semula dan yang mempunyai sistem tertutup yang mana cecair ‘vape’ adalah ‘prefilled’ dan tidak boleh dibuat isian semula atau digunakan secara pakai buang,” katanya ketika di temu bual.
Nur Suhaila berkata, walaupun masih baharu, tetapi telah mempunyai bukti bahawa 'vape’ mendatangkan pelbagai kesan yang tidak baik kepada pengguna terutama dalam aspek kesihatan.
“’Vape’ mengandungi nikotin sama seperti rokok yang sudah terbukti menyebabkan ketagihan serta penyempitan salur darah, pembekuan darah dan seterusnya berisiko mengakibatkan penyakit jantung dan strok.
“Golongan remaja mudah terjebak dengan penggunaan ‘vape’ disebabkan rasa ingin mencuba sehingga ketagih dan sukar untuk berhenti. Nikotin dalam ‘vape’ memberi kesan neurotoksik kepada sel otak remaja yang sedang berkembang kerana pada peringkat awal remaja, neurokognitif dan fungsi eksekutif otak belum matang sepenuhnya,” ujarnya lagi.
Selain itu, menurut Nur Suhaila, pemanasan bahan kimia lain dalam cecair ‘vape’ seperti ‘propylene glycol’ akan menghasilkan bahan yang membebaskan ‘formaldehyde’ yang boleh menyebabkan kanser.
“Penyakit baharu yang dikesan dalam kalangan pengguna ‘vape’ ialah kerosakan paru-paru atau dikenali sebagai penyakit 'E-cigarette or Vaping Product Use -Associated Lung Injury' (EVALI) dengan simptom demam, batuk, sesak nafas dan lelah yang sukar didiagnosis.
“Ia mula dikesan di Amerika Syarikat pada tahun 2019 apabila sekumpulan pengguna ‘vape’ mengalami kecederaan dan kerosakan paru-paru dan menyebabkan pergantungan kepada mesin pernafasan dengan 68 kematian dilaporkan sehingga kini,” jelasnya.
Ketika ditanya adakah ‘vape’ merupakan ‘gateway’ untuk remaja memulakan tabiat merokok, Nur Suhaila memberitahu tanggapan tersebut adalah benar kerana bahan utama dalam cecair ‘vape’ adalah nikotin yang menyebabkan ketagihan.
"Ianya terbukti daripada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) - Kajian Kesihatan Remaja tahun 2022 yang telah menunjukkan peningkatan mendadak prevalens penggunaan 'vape' dalam kalangan remaja dan lebih membimbangkan lagi peningkatan yang ketara turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan.
"Kajian juga telah membuktikan bahawa mereka yang menghisap ‘vape’ boleh menjadi ‘dual user’.
“Bagi mereka yang tidak pernah merokok, mereka hanya ingin mencuba dengan menghisap 'vape'. Namun, nikotin dalam cecair ‘vape’ akan menyebabkan ketagihan dan lama kelamaan akan mendorong mereka menghisap rokok konvensional seterusnya menjadi ‘dual user’, termasuklah juga mereka yang cuba menjadikannya alternatif kepada rokok konvensional," ulasnya lanjut.
Beliau berkata, hal ini akan meningkatkan risiko ke atas kesihatan mereka selain turut membuka ruang kepada ketagihan dadah yang lain sebagaimana dilaporkan terutamanya melalui 'vape' yang berkonsep sistem terbuka.
Tambah Nur Suhaila, terdapat beberapa cara untuk berhenti menghisap ‘vape’ atau rokok dan yang paling penting adalah tekad serta istiqomah untuk melakukannya.
“Mulakan dengan memberitahu keluarga atau rakan-rakan tentang keiinginan untuk berhenti menghisap ‘vape’/rokok serta dapatkan sokongan mereka. Seterusnya, kurangkan kekerapan menghisap ‘vape’ dan buang peranti ‘vape’ atau elakkan membeli stok ‘vape’ yang baharu.
“Sila dapatkan khidmat nasihat atau janji temu di Klinik Berhenti Merokok di fasiliti kerajaan atau swasta atau layari laman sesawang jomquit.com atau akses melalui MySejahtera,” terangnya.
Nur Suhaila turut menjelaskan bahawa orang ramai juga boleh mendapatkan rawatan di Klinik Berhenti Merokok – Klinik Rawatan Keluarga Hospital USM.
“Pelbagai kaedah rawatan disediakan seperti terapi farmakologi dan terapi kaunseling modifikasi tingkah laku berdasarkan kepada penilaian tahap kesediaan berhenti merokok, sejarah menghisap ‘vape’/rokok dan tahap ketagihan.
“Sokongan keluarga, rakan-rakan dan persekitaran turut memainkan peranan penting dalam usaha membantu penghisap ‘vape’ untuk terus berhenti," katanya.
Nur Suhaila turut menyarankan semua pihak untuk memikul tanggungjawab bersama kerana pencegahan adalah solusi terbaik daripada terus membiarkan golongan remaja terpengaruh dengan penyalahgunaan ‘vape’.
“Jauhkan mereka daripada terpedaya dengan pengaruh industri tembakau dengan meningkatkan ilmu dan dapatkan info daripada sumber yang tepat.
“Golongan remaja juga perlu berani dan tegas menolak ajakan merokok atau menghisap ‘vape’ demi kesejahteraan diri dan gunakan masa yang terluang dengan melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti bersukan, kesukarelawanan dan banyak lagi.
“Ibu bapa dan guru-guru juga perlu lebih cakna dengan perkembangan terkini untuk membantu mengawal tingkah laku anak-anak terutama remaja dan menjadi 'role model' kepada mereka dengan tidak merokok. Segera bertindak membawa anak-anak mendapatkan bantuan kaunseling atau rawatan di klinik kesihatan sekiranya anak-anak terjebak dengan penggunaan ‘vape’,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar penguatkuasaan undang-undang kawalan produk merokok yang lebih ketat dapat disegerakan oleh kerajaan.
“Terkini, dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mula menguatkuasakan Akta 852 Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam bermula 1 Oktober 2024. Terima kasih dan tahniah kepada kerajaan Malaysia terutamanya KKM yang telah berusaha merangka Akta Kawalan Produk Tembakau ini.
“Semoga ianya dapat membantu mengurangkan penggunaan ‘vape’ terutamanya dalam kalangan remaja dan diharap agar ‘vape’ dapat diharamkan penjualannya di Malaysia seperti negara jiran iaitu Singapura dan Thailand.
“Semoga Malaysia dapat mencapai sasaran ‘Tobacco End Game’ dengan prevalens perokok kurang daripada 5 peratus (%) pada tahun 2040 dan sama-sama kita berusaha ke arah generasi sihat yang bebas rokok dan ‘vape’,” katanya mengakhiri temu bual.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 26