Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

VAKSINASI BANTU KUATKAN IMUNISASI DAN KETAHANAN FIZIKAL JEMAAH SAHUT PANGGILAN BAITULLAH

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Jun 2024 – Panggilan Baitullah tiba lagi. Didalam hati setiap umat Islam pastinya menyimpan keinginan untuk menunaikan ibadah haji mahupun umrah di tanah suci. Ibadah haji adalah diwajibkan ke atas setiap muslim yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Ia boleh dilakukan dengan satu perjalanan yang sama atau berasingan. Ibadah haji hanya boleh dikerjakan di tanah suci Mekah apabila tiba musim haji iaitu dalam bulan Zulhijah setiap tahun manakala ibadah umrah boleh dilakukan sepanjang tahun.

Bagi mereka yang menerima tawaran mengerjakan haji, pastinya tidak terluah dengan kata-kata hanya sirna wajah mampu menggambarkan emosi dan perasaan yang dirasai. Dalam keterujaan untuk menyahut panggilan Baitullah, pelbagai persediaan dan persiapan perlu dilakukan termasuk mengambil suntikan vaksinasi sebelum berangkat ke tanah suci.

Risiko jangkitan kuman dalam kalangan jemaah haji dan umrah sangat mencabar kesihatan dan ketahanan fizikal seseorang jemaah. Tahap kesihatan jemaah boleh merosot disebabkan oleh persekitaran dan aktiviti ibadah semasa haji dan umrah. Ditambah lagi dengan pencampuran jemaah dari pelbagai negara juga boleh menyebabkan pertukaran dan penularan kuman yang berbeza.

Seseorang jemaah yang tiada penyakit kronik serta sihat semasa berada dalam negara biasanya akan menjadi imun terhadap kuman yang berada persekitarannya di dalam negara. Namun, apabila terdedah kepada kuman baharu yang sistem imun badannya tidak pernah terdedah sebelum ini, kemungkinan untuk mendapat jangkitan adalah tinggi.

Ini biasa dilihat apabila lebih daripada 90 peratus (%) jemaah haji akan mengalami demam dan batuk semasa berada di tanah suci atau sewaktu pulang ke tanah air. Keadaan ini semakin teruk sekiranya jemaah menghidap penyakit kronik yang boleh mengganggu sistem imun badannya. Dengan sistem imun yang lemah, risiko untuk mendapat jangkitan kuman yang teruk adalah sangat tinggi.

5

Menurut Pakar Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zakuan Zainy Deris, keadaan yang sangat padat terutamanya pada musim haji menyebabkan kuman boleh merebak dari seorang individu ke individu lain dengan mudah.

“Jemaah yang mampu bertahan dengan tanda-tanda jangkitan yang ringan biasanya tidak akan mendapat rawatan dan hal ini menjadi sumber untuk kuman merebak kepada orang lain.

1a

“Risiko jangkitan kuman boleh merebak melalui cecair pernafasan adalah sangat tinggi termasuk kuman daripada kumpulan virus dan bakteria.

“Contoh kuman yang biasa tersebar semasa musim haji dan umrah daripada kumpulan virus ialah Influenza A, rhinovirus, adenovirus, ‘human coronavirus’ dan parainfluenza virus. Manakala kumpulan bakteria pula ialah meningokokus (Neisseria meningitidis), pneumokokus (Streptococcus pneumoniae), ‘Haemophilus influenzae’, ‘Staphylococcus aureus’ dan ‘Klebsiella pneumoniae’,” ujarnya semasa ditemu bual.

8

Beliau berkata, kuman-kuman ini kebiasaannya menyebabkan jangkitan saluran pernafasan sebagai gejala utama. Namun, terdapat juga pesakit yang datang ke hospital dengan sindrom klinikal yang teruk akibat jangkitan selaput otak atau sepsis khususnya jangkitan meningokokus.

“Tiga (3) penyakit utama yang merebak melalui cecair pernafasan boleh dicegah melalui vaksin ialah meningokokus, pneumokokus dan influenza.

2

“Penyakit meningokokus boleh menyebabkan jangkitan pada selaput otak dan jangkitan dalam darah serta penyakit ini boleh menyebabkan berlakunya kematian atau cacat kekal dalam masa yang singkat jika tidak dirawat dengan segera.

“Kadar kematian jangkitan meningokokus adalah 10 hingga 15% dan penyakit ini boleh membunuh dalam masa 24 jam selepas simptom awal seperti demam panas muncul serta masa yang singkat menyebabkan rawatan antibiotik khusus tidak sempat diberi pada waktu yang sangat kritikal ini,” jelasnya lagi.

7

Zakuan yang juga Ketua Jabatan, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, PPSP, USM berkata, wabak meningokokus pernah berlaku selepas musim haji pada tahun 2001 dan 2012. Oleh kerana itu, pihak berkuasa haji dan umrah mensyaratkan supaya pemegang visa haji dan umrah perlu mendapatkan vaksin meningokokus sebelum berangkat ke tanah suci.

“Namun begitu, bagi pemegang visa pelancong yang mengerjakan umrah, mereka tidak disyaratkan mengambil vaksin ini. Tahap kesedaran yang rendah terhadap bahaya penyakit meningokokus dan sikap sambil lewa menyebabkan ramai jemaah umrah tidak mengambil vaksin ini.

9

“Vaksin meningokokus perlu diambil beberapa minggu sebelum berangkat dan boleh bertahan dalam tempoh tiga (3) hingga lima (5) tahun bergantung kepada jenis dan pengeluar vaksin tersebut,” ulasnya.

Tambah Zakuan, jangkitan pneumokokus pula boleh menyebabkan jangkitan biasa seperti jangkitan telinga tengah serta jangkitan teruk seperti jangkitan paru-paru, saluran darah dan selaput otak.

“Data menunjukkan pneumokokus adalah penyebab utama jangkitan paru-paru semasa musim haji sehingga mencecah lebih 50% disebabkan bakteria.

“Namun begitu, vaksin bagi penyakit ini tidak disyaratkan kepada jemaah haji dan umrah. Memandangkan kadar kematian yang tinggi disebabkan jangkitan pneumokokus serta kuman ini sangat mudah menular disebabkan jemaah, vaksin bagi penyakit ini sangat digalakkan dan Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) turut mengesyorkan penghidap penyakit kronik seperti diabetes, jantung dan lelah (asma), perokok serta jemaah yang berumur lebih 50 tahun mengambil vaksin ini,” katanya.

6

Menurut Zakuan lagi, vaksin yang ketiga tidak kurang pentingnya bagi jemaah haji dan umrah ialah vaksin bagi mencegah jangkitan virus influenza.

“Influenza adalah penyakit yang sering berlaku dan jangkitannya tidak boleh dianggap selesema biasa.

“Individu yang dijangkiti influenza berisiko mengalami komplikasi yang serius seperti jangkitan bakteria dalam paru-paru, serangan penyakit lelah, radang paru-paru, jangkitan tisu otak serta radang otot jantung dan kesemua masalah ini menyumbang kepada kematian.

3

“Kajian yang dijalankan ke atas jemaah haji Malaysia mendapati bahawa suntikan vaksin influenza berkesan untuk mencegah pneumonia antara 50 hingga 60% selain turut berkesan dalam mencegah kematian sehingga 80% bagi pesakit yang berumur lebih daripada 60 tahun,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun vaksin pneumokokus dan influenza tidak diwajibkan untuk perjalanan haji dan umrah, ia sangat digalakkan supaya jemaah dapat mengerjakan haji dalam keadaan sesempurna mungkin dan bebas daripada jangkitan kuman.

4

“Antibiotik atau ubat membunuh kuman sama sekali tidak boleh menggantikan kepentingan vaksin kerana antibiotik cuma boleh bertindak semasa berada dalam konsentrasi yang mencukupi di dalam tubuh.

“Apabila bahan kimia dikumuh keluar dari tubuh, tiada lagi kesan pembunuhan kuman berlaku dan ini sangat berbeza dengan vaksin kerana vaksin mencetuskan sistem imun badan untuk melawan penyakit.

“Peranan vaksin adalah untuk pencegahan jangkitan manakala peranan ubat pembunuh kuman lebih kepada rawatan setelah dijangkiti kuman,” jelasnya lanjut.

Zakuan turut berharap agar bakal jemaah haji dan umrah sentiasa menitikberatkan keperluan mengambil vaksin dengan mengambilnya mengikut tempoh yang ditetapkan (sekurang-kurangnya dalam tempoh dua (2) minggu hingga sebulan) sebelum berangkat ke tanah suci.

“Dengan usaha-usaha ini, saya berharap agar jemaah haji dan umrah dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna tanpa ancaman masalah kesihatan dan seterusnya memperoleh haji dan umrah yang mabrur,” katanya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 52