Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

VAKSIN BANTU KUATKAN SISTEM IMUN KANAK-KANAK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 Februari 2024 – Vaksin ialah suntikan yang mengandungi antigen. Ia diperoleh daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin berfungsi untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan iaitu sistem imuniti tubuh untuk membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit.

Program Imunisasi Kebangsaan di Malaysia telah diperkenalkan sejak awal tahun 1950. Kini, Perkhidmatan tersebut diberikan secara percuma untuk melindungi kanak-kanak daripada 13 jangkitan cegahan vaksin iaitu tuberculosis (batuk kering), hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, haemophilus influenza type b, pneumokokal, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV), tetanus, dan Japanese encephalitis (JE).

Di samping itu, terdapat lima (5) lagi vaksin yang tidak termasuk di dalam Program Imunisasi Kebangsaan tetapi sangat disyorkan iaitu cacar air, Hepatitis A, Influenza, penyakit meningokokus dan Rotavirus.

Kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan.

IMG 20240213 WA0002

Menurut Pensyarah Perubatan dan Pakar Pediatrik, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ahmad Zafrullah Afham Ahmad Fikri, suntikan vaksin akan membantu menguatkan lagi sistem imun kanak-kanak.

“Kebiasaanya tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semulajadi bagi melindunginya daripada jangkitan virus dan bakteria.

“Walau bagaimanapun, mekanisma pertahanan ini boleh dirangsang dengan pemberian vaksin,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Ahmad Zafrullah Afham, vaksin membantu menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan.

“Kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit cegahan vaksin kerana sistem daya lawan jangkitan mereka yang lebih lemah berbanding orang dewasa. Maka, adalah sangat disyorkan agar kanak-kanak diberi imunisasi seawal mungkin mengikut jadual yang telah ditetapkan,” ujarnya lagi.

Ahmad Zafrullah Afham berkata, proses pembuatan vaksin dijalankan dalam keadaan kawal selia yang rapi.

“Perkara ini amat dititikberatkan kerana vaksin dihasilkan daripada pembiakan organisma hidup dan sesetengah daripada organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya.

“Proses ini dijalankan dalam persekitaran bebas kuman dan dipantau rapi melalui langkah-langkah kawalan kualiti dan proses tersebut berbeza mengikut jenis vaksin, namun secara amnya penghasilan vaksin ini melibatkan empat langkah asas iaitu pembiakan, pengasingan, penulenan dan formulasi.

“Semua pengeluar vaksin tertakluk kepada peraturan kebangsaan dan antarabangsa serta perlu mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan perkara asas yang perlu dipatuhi termasuk memastikan produk adalah selamat untuk kegunaan masyarakat selain memastikan identiti, kekuatan, kualiti serta keaslian produk sentiasa mematuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Jelas beliau, stigma masyarakat hari ini mengenai kanak-kanak tidak perlu divaksin perlu diperbetulkan.

“Ini kerana apabila sebahagian besar masyarakat telah dilindungi daripada jangkitan sesuatu penyakit cegahan vaksin, bakteria atau virus penyebab penyakit sukar mencari seseorang yang boleh dijangkiti. Oleh itu, seluruh masyarakat akan terlindung daripada jangkitan penyakit tersebut dan ini dinamakan imuniti kelompok.

“Imuniti kelompok hanya dapat dicapai dengan liputan imunisasi yang tinggi dan berupaya melindungi mereka yang tiada perlindungan imunisasi dan berisiko daripada dijangkiti bakteria dan virus. Jadi, imunisasi bukan sahaja melindungi individu, tetapi turut melindungi seluruh keluarga, masyarakat dan negara.

“Sebagai ahli masyarakat, kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka yang tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap barah dan perlu menjalani rawatan kemoterapi kerana golongan ini berisiko mendapat jangkitan,” ulasnya lanjut.

Ahmad Zafrullah Afham menjelaskan mitos mengenai imuniti semula jadi si kecil adalah lebih baik daripada imuniti selepas divaksin adalah tidak tepat.

“Bagi menghasilkan perlindungan (imuniti) secara semula jadi terhadap penyakit tertentu, seorang kanak-kanak perlu dijangkiti oleh bakteria atau virus tersebut dan sembuh sepenuhnya daripada jangkitan.

“Dalam proses tersebut, kanak-kanak berisiko untuk mengalami komplikasi jangkitan yang boleh mengancam nyawa.

“Vaksin, sama ada yang berunsurkan bakteria atau virus yang telah dimatikan atau dilemahkan memberi perlindungan setaraf dengan perlindungan (imuniti) semula jadi hasil daripada jangkitan tanpa perlu melalui risiko komplikasi jangkitan,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, sekiranya seseorang terdedah kepada patogen tertentu pada masa hadapan, sistem imun individu tersebut akan ‘mengenali’ patogen tersebut dan menghasilkan tindak balas yang berkesan bagi menyekat jangkitan atau mengurangkan keterukan gejalanya.

Menurut beliau lagi, vaksin juga ada kemungkinan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kesakitan dan kemerahan pada tempat suntikan atau demam.

“Kita gunakan istilah ‘adverse event following immunisation' (AEFI). Kebanyakan kesan sampingan ini adalah ringan dan sembuh dengan segera.

“Adalah sukar untuk menjangka siapa yang akan mengalami kesan sampingan ringan atau berkemungkinan mengalami kesan sampingan yang lebih serius ekoran daripada pengambilan vaksin dan lazimnya kesan sampingan serius amat jarang berlaku.

"Peratusan untuk kesan sampingan yang serius selepas pengambilan vaksin adalah sangat kecil, jauh lebih rendah berbanding risiko kematian atau kemudaratan yang disebabkan oleh penyakit ingin dicegah melalui vaksin ini," jelasnya.

Menurut Ahmad Zafrullah Afham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau keselamatan penggunaan vaksin secara berterusan.

"Sekiranya terjadi kesan sampingan selepas menerima vaksin, ibu bapa haruslah membawa si kecil ke premis kesihatan seperti klinik kesihatan ataupun hospital untuk penilaian butiran kejadian termasuklah tahap keseriusan supaya langkah-langkah rawatan dan laporan boleh dilaksanakan.

"Negara kita mempunyai sistem audit AEFI yang diterajui oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di bawah KKM," katanya.

Ahmad Zafrullah Afham turut menasihati masyarakat terutama ibu bapa supaya sentiasa peka dengan jadual imunisasi si kecil.

“Pastikan anda hadir janji temu di Klinik Kesihatan untuk pemeriksaan berkala dan elakkan daripada terlepas pemberian vaksin kepada si kecil sama ada sengaja mahupun tidak.

“Jika terdapat sebarang kekeliruan, sila dapatkan kepastian daripada sumber yang betul dan sahih sahaja seperti laman sesawang rasmi yang disediakan KKM menerusi https://immunise4life.my,” rayunya lagi.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 58