UTAMAKAN KESIHATAN MENTAL DEMI KEHARMONIAN HIDUP DAN KERJAYA
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN,17 Oktober 2024 - Kesihatan mental merupakan perkara asas yang perlu dititikberatkan bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja sihat.
Lebih 150 peserta menyertai Simposium Kesihatan Mental di Tempat Kerja yang diadakan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Psikiatri 2024 di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Sesuai dengan kepakaran yang dimiliki, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM yang juga Pakar Perunding Psikiatri, Profesor Madya Dr. Asrenee Ab Razak berkongsi informasi melalui ceramah slot pertama dengan mengupas tajuk 'Tempat Kerja Yang Sejahtera'.
Manakala Pakar Psikologi Klinikal, PPSP USM, Profesor Madya Dr. Azizah Othman pula memberikan tips serta teknik pengurusan stres melalui ceramah beliau bertajuk 'Bahagia di Tempat Kerja, Skill Mengurus Stres'.
Perkongsian pendapat bersama peserta menerusi forum bertajuk 'Mengharmonikan Hidup dan Kerjaya' menampilkan tiga (3) ahli panel iaitu Pakar Psikatri, PPSP USM, Dr. Maruzairi Husain, Ketua Penyelia Jururawat, Unit Kejururawatan Hospital Pakar USM, Norhayati Mohamad dan Ketua Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling Keusahawanan Kerjaya dan Alumni, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Mohd Norzulhairie Othman serta menampilkan Pensyarah Perubatan Psikatri USM, Dr. A'isyah Che Rahimi sebagai moderator.
Hadir merasmikan simposium ini ialah Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin.
Teks: Rosalwani Che Soh / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 3