USM SEDIA PASUKAN PFA BANTU SOKONGAN EMOSI MANGSA BANJIR
PASIR MAS, KELANTAN, 5 Disember 2024 - Selain kerosakan fizikal seperti kemusnahan harta benda, bencana banjir juga boleh menyebabkan trauma serta gangguan emosi kepada mangsa. Kesejahteraan mental mangsa banjir jika tidak ditangani segera boleh mengurangkan kualiti kehidupan khususnya kepada mangsa yang mengalami detik-detik cemas termasuk kehilangan orang tersayang.
Menyedari akan keperluan memberi bantuan sokongan emosi kepada mangsa-mangsa banjir, Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan pasukan ‘Psychological First Aid’ (PFA) yang berperanan membantu mangsa mengurus tekanan emosi mereka.
Pasukan PFA Kampus Kesihatan USM turut menyertai Misi Skuad Ihsan Madani Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) - Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) hari ini berganding bahu bersama-sama hampir 1,000 sukarelawan yang turun ke lokasi-lokasi banjir sekitar negeri Kelantan bagi memberi bantuan.
PFA adalah pendekatan sokongan psikologi yang diberikan kepada individu yang mengalami krisis untuk membantu mereka menstabilkan emosi dan mengatasi kesan trauma. Sokongan awal yang diberikan melalui PFA bukan sahaja membantu mangsa menguruskan tekanan emosi tetapi juga memperkukuh daya tahan mereka dalam menghadapi cabaran masa depan.
Latihan asas PFA kepada sukarelawan dan komuniti setempat turut dikongsi agar menjadi pelaburan yang berharga untuk memastikan kesejahteraan psikologi mangsa banjir di kawasan ini.
Jika PFA diterapkan dengan betul, ia mampu menjadi jambatan kepada pemulihan mental yang menyeluruh, membawa komuniti Kelantan kembali bangkit dengan lebih kuat selepas menghadapi bencana.
Teks: Amyrulhan Azhari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 30