USM PERKENAL APLIKASI MUDAH ALIH TINGKATKAN KECEKAPAN PENGURUSAN KECEDERAAN MELECUR AKUT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Februari 2025 – Sebagai usaha memperkenalkan penggunaan aplikasi mudah alih dalam meningkatkan ketepatan, kelajuan dan kecekapan dalam pengurusan kecederaan melecur akut, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Seminar Latihan Aplikasi Mudah Alih untuk Pengurusan Kecederaan Melecur di Auditorium Jabatan Perubatan Kecemasan, semalam.
Aplikasi ini bukan hanya membantu pegawai perubatan daripada segi kecepatan dan ketepatan menilai luas permukaan luka terbakar dan melecur, tetapi juga mampu menentukan jumlah cairan resusitasi yang tepat untuk setiap pesakit yang memerlukan.
Selain itu, aplikasi ini juga dapat mengumpul data statistik luka melecur dan terbakar secara sentral di mana ianya berpotensi untuk pelanjutan kajian-kajian mendatang. Aplikasi ini dijangka akan dibuka untuk kegunaan semua pegawai perubatan di Hospital Pakar USM (HPUSM) dalam waktu terdekat terutama pasukan yang mengendalikan kes-kes melecur dan terbakar.
Seminar yang dihadiri hampir 90 orang peserta ini dirasmikan oleh Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani. Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif, Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, USAINS Healthcare Sdn. Bhd., Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Penyelaras Penyelidikan Kampus Kesihatan USM yang juga Ketua Unit Sains Kesihatan Digital, PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Imran Musa dan Pakar Perubatan Kecemasan, Dr. Mohamad Zikri Ahmad.
Penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen USM memperkasakan penggunaan teknologi dalam bidang perubatan sejajar dengan kemajuan sains digital untuk meningkatkan mutu penjagaan pesakit.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 30