Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

USM-MINDRAY SONOSCHOOL: SUMBANGAN RM1 JUTA PERKUKUH KEMAHIRAN POCUS PELAJAR DAN PENGAMAL PERUBATAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 September 2023 – Syarikat Mindray yang berpusat di China melalui Syarikat Infiniti Medical Sdn. Bhd. (pengedar mesin ultrasound dalam negara) berbesar hati menyumbang empat (4) buah mesin ‘ultrasound’ bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran termasuk membaik pulih bilik ‘ultrasound’ yang melibatkan keseluruhan kos hampir RM1 juta di Jabatan Perubatan Kecemasan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM).

f3c9409e 6365 498d b63b 46b2936931ca

Projek USM-Mindray Sonoschool merupakan projek kerjasama antara Mindray dengan USM berdasarkan Memorandum Perjanjian (Memorandum of Agreement-MOA) yang telah dimeterai pada tahun 2021.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, USM-Mindray Sonoschool dibangunkan untuk memberi latihan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar Program Doktor Perubatan, Sarjana Perubatan dan subkepakaran berkaitan ‘ultrasound’ seiring perkembangan teknologi ‘ultrasound’ terkini dan tercanggih seperti yang disumbangkan oleh Mindray.

“Dengan adanya kemudahan peralatan mesin ‘ultrasound’ ini, ia sedikit sebanyak membantu para pelajar memasuki era baharu pembelajaran perubatan.

9e6568c3 a756 4c0e bdac 5f722f69219a

“USM juga merupakan perintis yang memperkenalkan kurikulum berstruktur untuk ‘point of care ultrasound’ (POCUS) bagi memastikan kemahiran pemeriksaan ‘ultrasound’ dalam kalangan pakar dan pegawai perubatan berada pada tahap kompetensi yang optimum.

“Sehingga kini, USM telah melatih hampir 300 pelajar Sarjana Perubatan (Perubatan Kecemasan) yang mempunyai kemahiran dalam bidang POCUS,” katanya ketika ditemui selepas merasmian Majlis Perasmian USM-Mindray Sonoschool, hari ini.

542b7cc6 8251 4c29 b184 4e12c205b9ed

Tambah Shaharum, USM turut mendedahkan bidang POCUS kepada pelajar Doktor Perubatan tahun lima (5) sejak tahun 2017 lagi terutamanya berkaitan Penilaian Berfokus Sonografi dalam Trauma (FAST).

“Bermula tahun ini, USM mengorak langkah dengan memperkenalkan POCUS sebagai sebahagian daripada sukatan pelajaran untuk pelajar Doktor Perubatan tahun empat (4) dan USM merupakan universiti pertama dalam negara yang melaksanakan sukatan pelajaran tersebut.

6c949385 0754 46f3 ad0d 436247d0c2d9

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pasukan POCUS USM juga telah menyumbang secara aktif kepada latihan POCUS di dalam dan luar negara selain menjalankan penyelidikan dan mengambil bahagian dalam ‘World Interactive Network Focused On Critical Ultrasound’ (WINFOCUS) yang merupakan komuniti POCUS terbesar di seluruh dunia,” jelasnya lagi.

Menurut Shaharum, bidang POCUS telah berkembang pesat dan dipraktikkan di seluruh dunia.

ae2453e0 19ce 4264 b6cd 7b63ba9ddaf1

“Kewujudan USM-Mindray Sonoschool ini diharap dapat membantu Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM menghasilkan graduan yang kompetitif dan berkualiti.

“USM-Mindray Sonoschool ini di bawah kelolaan Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab yang juga merupakan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan USM dan Profesor Madya Dr. Mohd Hashairi Fauzi, Pakar Perubatan Kecemasan merangkap Penyelaras Pusat Integrasi Simulasi Klinikal, PPSP USM,” ujarnya.

29a6ea33 d079 455f 9dac a4f26b4e4a54

Shaharum turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mindray serta Infinity Medical Sdn. Bhd. atas sumbangan yang cukup besar kepada USM dan berharap sumbangan itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama turut berlangsung pelancaran buku POCUS pertama terbitan Penerbit USM. Buku ini mewakili pencapaian penting dalam bidang POCUS selain menyediakan panduan yang komprehensif bagi pakar dan pegawai perubatan menggunakan mesin ‘ultrasound’ dalam menjalankan proses ‘ultrasound’ di tempat pesakit berada atau ‘point of care’ selain membantu mendapatkan diagnosis serta rawatan yang lebih tepat.

4f11ba08 3ee2 451c 832c 71c264bb033b

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Antarabangsa, Mindray, Kurt Xie; Pengarah Urusan Infinity Medical Sdn. Bhd., Ng Yoong Duong; Dekan PPSP, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan-timbalan Dekan PPSP, Timbalan-timbalan Pengarah Hospital USM dan Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 63