USM-MERICAN TERUS AKTIF SALUR PERKHIDMATAN KEPADA KOMUNITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 17 Oktober 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Program Libatsama Komuniti USM-Merican meneruskan kesinambungan menyantuni golongan yang memerlukan dengan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan komprehensif kepada komuniti setempat.
Dalam program yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Padang Mokan, Bachok pada 10 Oktober lalu, pelbagai akses kesihatan ditawarkan oleh Hospital Pakar USM (HPUSM) kepada komuniti setempat seperti saringan kesihatan umum, pemeriksaan mata, konsultasi rehabilitasi, saringan tekak, pemeriksaan gigi serta khidmat runding cara Orang Kurang Upaya (OKU).
Program yang menarik penyertaan kira-kira 300 peserta ini antara lain bertujuan meningkatkan penjagaan kesihatan dan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk menerima rawatan khas daripada pakar-pakar khususnya golongan tua dan mereka yang berkeperluan khas.
Program ini turut melibatkan lebih 80 penyertaan sukarelawan pasukan perubatan HPUSM yang terdiri daripada pakar perubatan, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat serta staf sokongan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengasas Yayasan Merican, Dato’ Dr. Mahmood Merican dan isteri; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Dekan Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan PPSP, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam dan Pengerusi Program Libatsama Komuniti USM - Merican, Profesor Dr. Aziah Daud.
Sumber Laporan dan Foto: Dr. Ahmad Mu'az Kamalul Sahar
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 5