USM MASUK KAMPUNG TINGKATKAN KESEDARAN MASYARAKAT TERHADAP BAHAYA DIABETES
RANTAU PANJANG, KELANTAN, 15 November 2024 – Diabetes adalah penyakit kronik yang menyebabkan kegagalan tubuh mengawal peningkatan paras gula dalam darah. Jika tidak diurus dengan baik, ia boleh membawa kepada komplikasi serius melibatkan organ penting seperti jantung, buah pinggang, mata, saraf dan saluran darah.
Berdasarkan laporan terkini daripada ‘National Health and Morbidity Survey’ 2023, diabetes telah menjadi salah satu penyebab utama kematian di Malaysia.
Statistik menunjukkan bahawa 15.6 peratus (%) atau kira-kira satu (1) dalam setiap enam (6) rakyat Malaysia menghidap diabetes. Lebih membimbangkan, 84% daripada golongan dewasa di negara ini tidak menyedari mereka menghidap penyakit ini sekaligus menambah cabaran dalam usaha membendung masalah ini.
Justeru, Pusat Diabetes Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bersama dengan Diabetes Malaysia Cawangan Kelantan mengambil inisiatif mengadakan Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2024 di Mukim Lubok Stol, Rantau Panjang dengan menyasarkan komuniti luar bandar supaya lebih cakna tentang bahaya diabetes.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, usaha yang diambil dengan menganjurkan program kesedaran diabetes ini amat bertepatan untuk meningkatkan kesedaran dan memberi pemahaman kepada masyarakat mengenai penyakit ini.
“Umum mengetahui, mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, USM sentiasa berusaha untuk mempromosi penjagaan kesihatan melalui kempen dan ceramah kesihatan serta turut mengadakan pemeriksaan saringan kesihatan seperti yang ada pada hari ini.
“Walau bagaimanapun, segala inisiatif yang dilakukan ini akhirnya bergantung kepada individu itu sendiri sama ada ingin terus kekal sihat atau sebaliknya.
"Saya menyeru hadirin sekalian untuk membuat pilihan yang bijak dengan mengamalkan cara hidup sihat dan melakukan saringan awal sebelum terlambat," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Shaiful Bahari berharap informasi yang diterima melalui sambutan ini dikongsi bersama keluarga, sanak saudara serta rakan-rakan dengan mengajak dan membantu mereka untuk kekal sihat.
"Tanpa penglibatan semua pihak agak sukar untuk kita menyampaikan mesej kepada masyarakat di peringkat akar umbi," jelasnya lagi.
Sambutan Hari Diabetes Sedunia kali ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan, pameran kesihatan, cabutan bertuah, agihan bakul makanan dan jualan rahmah.
Selain program kesedaran diabetes, jawatankuasa penganjur turut bekerjasama dengan Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk memberi perawatan kepada komuniti di situ.
Menurut Shaiful Bahari, sebagai sebahagian daripada inisiatif kerjasama itu, seramai 10 orang sukarelawan daripada komuniti setempat akan dilatih dan dibekalkan dengan peralatan pengukuran gula darah (glukometer) dan tekanan darah.
"Mereka akan membantu memantau kesihatan penduduk setempat dan berperanan sebagai penghubung untuk mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Kesihatan Rantau Panjang serta mendapatkan konsultasi daripada pihak USM.
"Pihak USM juga akan membuat lawatan susulan ke atas 10 orang sukarelawan tersebut iaitu enam (6) bulan sekali selama tempoh dua (2) tahun bagi memastikan program pengesanan diabetes dan darah tinggi berjalan dengan baik serta mengadakan kunjungan ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk mengetahui jumlah pesakit yang telah dirujuk," ujarnya.
Turut hadir ialah Pengarah Negeri FELCRA Berhad Kelantan, Mohd Bukhari Mahadi; Pengerusi Diabetes Malaysia Cawangan Kelantan, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Izani Wan Mohamed; Penolong Pengarah Kanan mewakili Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mejar Mohd Rizal Musttafa Mohd Isa; Imam Tua Masjid Lubok Stol, Tengku Azmi Tuan Romli dan Pengarah Projek Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2024, Profesor Madya Dr. Nani Draman.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 36