USM – KACC METERAI MoU PERKENAL PROGRAM INTERVENSI AWAL KANAK-KANAK AUTISME
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Disember 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kelantan Autism Care Centre (KACC) bagi memperkenal program intervensi awal kanak-kanak autisme.
Majlis penandatanganan MoU tersebut disempurnakan Pengarah Hospital Pakar USM (HPUSM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman yang mewakili Naib Canselor USM dan Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria bagi pihak USM, manakala KACC pula diwakili oleh Pengarah KACC, Shaffry Mohd Sariff dan Pegawai Tadbir KACC, Mohd Faiz Rosli.
Kerjasama strategik ini merupakan satu langkah yang amat signifikan dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti selain meningkatkan kesedaran dan sokongan kepada pasangan yang berhadapan dengan cabaran menguruskan anak-anak autisme di negeri Kelantan.
Menurut Nik Hisamuddin, berdasarkan statistik global, dianggarkan satu (1) daripada setiap 68 kanak-kanak di dunia disahkan menghidap autisme dan hampir 9,000 kanak-kanak autisme dilahirkan setiap tahun di Malaysia.
“Data Buku Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula menunjukkan peningkatan yang ketara dalam bilangan kanak-kanak berkeperluan khas, terutama dalam kategori masalah pembelajaran.
“Pada tahun 2023, seramai 97,000 murid didaftarkan dengan masalah pembelajaran berbanding 72,000 murid pada tahun 2019, dan daripada jumlah tersebut, 26,000 adalah kanak-kanak autisme. Peningkatan ini menunjukkan betapa pentingnya intervensi awal dilakukan bagi memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya sebelum memasuki alam persekolahan,” katanya.
Tambah Nik Hisamuddin, MoU ini merupakan langkah yang tepat dalam usaha membantu golongan ini selain memupuk budaya penyelidikan dan inovasi dalam bidang tersebut.
“HPUSM menawarkan perkhidmatan kepakaran dalam bidang psikiatri, psikologi, pediatrik, terapi cara kerja dan terapi pertuturan serta mempunyai pengalaman yang luas dalam merawat kanak-kanak autisme.
“Oleh itu, penglibatan HPUSM dalam kerjasama ini secara tidak langsung akan memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu terutamanya dalam aspek intervensi awal untuk kanak-kanak autisme di negeri Kelantan,” ujarnya lagi.
Nik Hisamuddin turut menegaskan bahawa USM sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan percaya kerjasama ini dapat memberi impak positif yang besar kepada masyarakat.
“USM juga berharap dapat membangunkan lebih banyak program bermanfaat kepada keluarga dan individu yang terlibat serta melatih lebih ramai pakar berkemahiran dalam bidang ini.
“Saya percaya kerjasama ini menjadi permulaan kepada lebih banyak inisiatif bermanfaat di masa hadapan dan semoga usaha kita diberkati serta memberikan hasil yang diharapkan,” ungkapnya.
Sementara itu, Shaffry dalam ucapannya pula berkata, beliau yakin anak-anak autisme akan mendapat banyak manfaat daripada kerjasama ini.
“MoU ini akan menjadi jambatan antara profesional berkemahiran tinggi USM dan masyarakat serta ibu bapa yang akan bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak istimewa ini.
"Semoga kerjasama ini berterusan dan saya berharap agar suatu hari nanti, sebuah pusat autisme dapat dibangunkan dalam kawasan Kampus Kesihatan USM untuk kemudahan staf dan komuniti sekitar yang memiliki anak-anak autisme ini," katanya.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Timbalan Dekan Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) merangkap Penasihat Persatuan Autisme USM, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam, para penyelidik dan delegasi dari KACC.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 25