USM DAN YJKM METERAI PERJANJIAN BANTU PESAKIT JANTUNG KONGENITAL
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Januari 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Hospital USM hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) bertujuan membantu lebih ramai pesakit jantung kanak-kanak mendapatkan rawatan di Hospital USM.
Berdasarkan statistik, lapan (8) daripada setiap 1,000 bayi yang dilahirkan mengalami masalah jantung kongenital. Di Kelantan, dengan kadar kelahiran hampir 35,000 orang setahun, dianggarkan kira-kira 250 hingga 300 bayi dilahirkan mempunyai masalah jantung kongenital dan hampir 1/3 daripada mereka memerlukan rawatan awal sama ada secara pembedahan atau tanpa pembedahan.
MoA tersebut ditandatangan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Pegawai Eksekutif YJKM, Tan Chin Zhia serta disaksikan oleh Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YJKM, Lee Geok Hua.
Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, kerjasama dengan YJKM dalam membantu pesakit jantung kanak-kanak amat dialu-alukan kerana sebahagian besar daripada mereka merupakan pesakit dari keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan.
“Melalui perjanjian ini, YJKM bersetuju untuk menampung caj rawatan hospital sehingga RM3,000 untuk setiap pesakit jantung kongenital yang memerlukan.
“Kerjasama yang berkuat kuasa selama satu (1) tahun ini secara signifikannya dapat membantu dalam merawat pesakit jantung kanak-kanak dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti hidup pesakit serta keluarga mereka,” ujarnya.
Tambah Abdul Rahman, Hospital USM merupakan satu-satunya hospital di Pantai Timur yang menawarkan rawatan pembedahan untuk pesakit jantung kanak-kanak di mana 50 hingga 60 pembedahan dilakukan setiap tahun.
“Selain itu, Hospital USM juga menawarkan rawatan jantung secara transkater untuk merawat pelbagai jenis penyakit jantung kongenital yang melibatkan seramai 100 hingga 120 orang pesakit setiap tahun.
“Hospital USM bukan sahaja merawat pesakit dari negeri Kelantan, malahan turut menerima sejumlah pesakit dari Terengganu. Oleh itu, kerjasama dua (2) hala antara Hospital USM dan YJKM akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pesakit jantung kanak-kanak di negeri Kelantan, tetapi juga pesakit dari negeri lain,” jelasnya lagi.
Abdul Rahman turut berharap agar kerjasama ini terus berkembang pada masa akan datang bagi membantu membuka peluang kepada lebih ramai pesakit jantung kanak-kanak untuk menerima rawatan yang lebih baik.
Sementara itu, Chin Zhia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada USM kerana memberi peluang YJKM menyumbang bakti melalui kerjasama ini.
“Selaras dengan okjektif penubuhan YJKM untuk membantu pesakit jantung kongenital yang terdiri daripada rakyat Malaysia, bayi dan kanak-kanak khususnya golongan kurang berkemampuan serta asnaf tanpa mengira bangsa, agama dan kaum, kolaborasi ini menjadi titik tolak dalam usaha membantu pesakit-pesakit yang terkesan dengan jantung kongenital.
“Semoga kerjasama ini menjadi permulaan kepada hubungan yang lebih erat dan kukuh antara kedua-dua pihak pada masa akan datang,” katanya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 33