USAINS HEALTHCARE ANJUR SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR BERSAMA KOMUNITI BACHOK
BACHOK, KELANTAN, 8 Jun 2024 - Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun 2024, Usains Healthcare Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDB-BPI) menganjurkan Sambutan Hari Alam Sekitar di Pantai Irama, hari ini.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar dalam kalangan komuniti setempat selain kesedaran tentang penjagaan kesihatan.
Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Yang Dipertua MDB-BPI, Haji Shamsul Abu Bakar.
Kira-kira 150 orang pelajar dan staf Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang diberi nama Skuad Cinta Pantai terlibat dalam aktiviti pembersihan dan penanaman pokok sekitar kawasan pantai tersebut.
Antara aktiviti lain yang turut dijalankan ialah pemeriksaan kesihatan kanser payudara oleh Unit Kesedaran dan Penyelidikan Kanser Payudara (BestARI) Hospital USM, pemeriksaan pergigian, ceramah kesihatan, persembahan dikir barat serta cabutan bertuah.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Eksekutif Usains Healthcare Sdn. Bhd., Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), USM, Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis dan Timbalan Pengarah (Sistem Pengurusan) Hospital USM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar.
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 62