TROPIKA COFFEE: GAYA MODEN DAN SANTAI TONJOL IMEJ KORPORAT HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Disember 2024 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengambil satu lagi inisiatif untuk memperkayakan pengalaman warga hospital dan pengunjung dengan menyediakan ruang santai serta kopi berkualiti tinggi apabila Tropika Coffee dibuka secara rasmi pada hari ini.
Usaha ini merupakan hasil kerjasama antara HPUSM dan Mahir Trading dengan tujuan menyediakan ruang santai untuk warga kampus, pelawat dan pesakit.
Idea pembukaan kafeteria ini tercetus daripada keperluan untuk menambah premis makanan dan minuman bagi memenuhi permintaan pengunjung yang semakin meningkat.
Pengarah HPUSM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman berkata, pembukaan Tropika Coffee ini merupakan inisiatif baharu bertujuan meningkatkan hubungan strategik dengan syarikat luar serta menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkasa universiti awam (UA).
“Sekalung penghargaan kepada semua yang terlibat dalam penubuhan Tropika Coffee khususnya Mahir Trading yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan kewujudan Tropika Coffee ini.
“Ia sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia yang menggalakkan universiti awam untuk menjana pendapatan sendiri dengan menawarkan peluang kerjasama perniagaan kepada syarikat luar melalui penyewaan ruang dan kiosk di premis hospital.
“Usaha ini diharap mampu menjadikan USM lebih mampan dan fleksibel dalam pengurusan kewangan sekaligus menyokong transformasi institusi pendidikan tinggi di Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Tropika Coffee, hari ini.
Nik Hisamuddin berkata, lokasi Tropika Coffee yang strategik ini juga perlu dimanfaatkan untuk menonjolkan konsep moden dan kelestarian yang selari dengan identiti korporat universiti.
"Tropika Coffee bukan sekadar ruang makan tetapi tempat yang sesuai untuk pertemuan, perbincangan dan aktiviti lain kerana memiliki ruang yang selesa dan unik.
“Tropika Coffee akan menjadi daya penarik baharu di Kampus Kesihatan dan saya berharap agar ia menjadi salah satu pilihan utama warga kampus dan pelawat HPUSM.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah, Pengurus Tropika Coffee HPUSM, Dr. Muhammad Mahir Che Hassan; Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset, HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Penyelaras Unit Pembangunan Korporat HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab. Rahman Izaini Ghani.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 227