TRANSFORMASI PENGLIHATAN : HOSPITAL USM TAWAR PENGALAMAN BARU ATASI MATA RABUN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Januari 2024 – Laser Refraktif merupakan kaedah rawatan alternatif menggantikan cermin mata atau kanta lekap untuk masalah rabun jauh (myopia), rabun dekat (hyperopia) dan rabun silau (astigmatism) dengan mengubah bentuk lapisan kornea mata dan memulihkan masalah mata rabun dengan berkesan.
Bagi mengatasi masalah ini, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan perkhidmatan Laser Refraktif dengan menggunakan kaedah 'Transepithelial Photorefractive Keratectomy' (TransPRK) yang merupakan satu kaedah terkini yang semakin popular kerana cepat, selamat dan mudah.
Pakar Perunding dan Pensyarah Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM, Profesor Dr. Mohtar Ibrahim berkata, laser refraktif merupakan satu rawatan yang dibuat pada kornea atau bahagian depan mata yang kebiasaan dipanggil mata hitam.
“Dalam proses rawatan ini, pakar mata akan mengubah struktur mata supaya pesakit tidak lagi memakai cermin mata terutamanya bagi pesakit yang mengalami rabun jauh.
“Kebiasaannya rawatan ini dilakukan kepada pesakit yang berumur 20 hingga 40 tahun kerana selain dari lingkungan umur ini, pesakit akan mempunyai masalah lain seperti rabun dekat,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat Kelantan FM.
Tambah Mohtar, untuk melakukan rawatan laser refraktif, pesakit perlu berumur 21 tahun ke atas dan memiliki kuasa penglihatan stabil.
"Rawatan ini tidak dilakukan kepada mereka yang berumur tujuh (7) hingga 20 tahun kerana pada usia tersebut kuasa penglihatan akan berubah-ubah iaitu tidak stabil.
“Terdapat tiga (3) kaedah rawatan untuk merawat ‘Refractive Error’ dalam perawatan mata rabun iaitu lasik, transPRK dan 'relex smile'. Namun, rawatan yang ditawarkan di Hospital USM adalah transPRK iaitu rawatan laser tanpa sentuhan.
“Untuk melakukan rawatan laser refraktif, pesakit perlu membuat temujanji terlebih dahulu dan pemeriksaan kuasa penglihatan, ketebalan kornea, keadaan mata serta lain-lain dijalankan selepas lulus penilaian kerana tidak semua pesakit sesuai melakukan rawatan ini,” katanya lagi.
Menurut Mohtar, pesakit yang tidak memenuhi syarat contohnya mata kering perlu dirawat terlebih dahulu dan jika pesakit mempunyai kornea berbentuk kon, rawatan sebegini tidak bersesuaian untuk mereka.
"Bagi mereka yang ingin melakukan rawatan ini, sila hubungi Klinik Laser Refraktif Hospital USM untuk membuat temujanji dan konsultasi bersama pakar," ujarnya.
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Reka Grafik : Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 302