TINGKATKAN AKTIVITI DAN SENTIASA POSITIF HINDARI PENYAKIT STROK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 November 2024 – Penyakit strok menjadi punca kematian kedua tertinggi dengan nisbah satu (1) daripada empat (4) rakyat Malaysia dijangka akan menghidap strok setiap tahun berdasarkan kajian dan laporan 'Global Burden of Disease Report 2016'.
‘Tingkatkan Aktiviti, Bertindak Melebihi Cabaran, Hindari Penyakit Strok’ merupakan tema ‘World Stroke Day’ (WSD) atau Hari Strok Sedunia pada tahun ini yang turut menekankan masyarakat dan kakitangan kesihatan sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan dan mengelakkan faktor-faktor risiko strok serta meningkatkan kesedaran awam mengenai pencegahan strok.
Menyedari hakikat itu, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dengan kerjasama Kelab Medik Jabatan Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII) dan 'Consultant Angels Initiative: Boehringer Ingelheim' mengambil inisiatif membantu merealisasikan matlamat negara untuk melahirkan individu yang sihat dari segi mental dan fizikal menerusi sambutan 'World Stroke Day' Peringkat Negeri Kelantan 2024, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar, Kerajaan Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah, ketika berucap merasmikan sambutan tersebut berkata, program ini sangat bertepatan untuk menggalakkan pesakit strok, penjaga dan masyarakat umum tidak membiarkan strok menjadi penghalang dalam kehidupan mereka.
"Dengan pemulihan yang konsisten dan komitmen yang jitu, ramai pesakit dapat memperbaiki keadaan fizikal dan psikologi mereka serta meneruskan kehidupan dengan penuh bermakna.
"Amalan gaya hidup sihat dengan berusaha bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima (5) kali seminggu adalah amat penting dalam usaha menangani ancaman strok," katanya ketika menyampaikan ucapan di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM.
Tambah Hilmi, dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi kini, strok adalah satu penyakit yang amat serius dan boleh memberi impak jangka panjang yang besar malah dalam kes-kes tertentu boleh mengancam nyawa.
Sementara itu, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail pula berkata, penyakit ini sering dikaitkan dengan faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, diabetes, merokok serta kurang aktiviti fizikal.
“Berdasarkan statistik menunjukkan satu (1) daripada setiap empat (4) orang berisiko mengalami strok dan kebanyakan kes strok sebenarnya boleh dicegah.
“Oleh itu, amat penting bagi kita untuk mengamalkan gaya hidup sihat, memantau tekanan darah, berhenti merokok, mengawal paras gula darah serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala," jelasnya.
Menurut Shaiful Bahari, setiap hari Hospital Pakar USM (HPUSM) menerima antara dua (2) hingga empat (4) kes strok dan hampir 500 pesakit strok dirawat di sini setiap tahun.
“Antara rawatan yang diberikan merangkumi terapi thrombolisis (ubat pencair darah) serta trombektomi (prosedur pengeluaran darah beku) dan HPUSM merupakan satu-satunya hospital di pantai timur yang menyediakan rawatan trombektomi.
"Selain itu, HPUSM juga mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang ini seperti neurologi, neurosurgeri, neuro rehabilitasi, neuro radiologi, ‘neuro intensive care’, radiologi intervensi dan ‘neuro emergency’ di mana semua kepakaran ini sangat penting dalam pengurusan pesakit strok," ulasnya lanjut.
Jelas Shaiful Bahari lagi, HPUSM juga menyediakan wad khas untuk rawatan strok iaitu ‘Acute Stroke Unit’ yang dilengkapi dengan tujuh (7) katil berkeperluan tinggi dan 14 katil bagi rawatan strok untuk memastikan mutu rawatan yang terbaik serta pemulihan yang lebih cepat bagi pesakit strok.
Shaiful Bahari turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa penganjur atas kesungguhan dalam menjayakan sambutan WSD itu.
"Semoga melalui kerjasama ini dapat mengurangkan kejadian strok, mengelakkan komplikasi yang berbahaya dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup masyarakat kita kerana tanpa penglibatan semua pihak agak sukar untuk menyampaikan mesej kepada orang awam," katanya mengakhiri ucapan.
Hadir sama dalam sambutan tersebut ialah Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, JKNK, Dato' Dr. Zaini Hussin; Timbalan Pengarah (Operasi) mewakili Pengarah HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) JKNK, Dr. Rohana Daud; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) JKNK, Dr. Ahmad Faris Awang; Timbalan Pengerusi yang mewakili Pengerusi Kelab Medik Jabatan Perubatan (HRPZII), Dr. Aini Syakirah Ahmad Shuyuti dan Penyelaras Sambutan 'World Stroke Day' Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024, Dr. Rose Izura Abdul Hamid@Abdul Razak.
Teks: Marlina Zahari/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 28