Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

STIMULASI OTAK DALAM MENGUBAH KEHIDUPAN PESAKIT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Januari 2025 – Stimulasi otak dalam (SOD) atau lebih dikenali dengan nama ‘deep brain stimulation’ ialah satu kaedah rawatan moden yang menggunakan rangsangan elektrik secara berterusan untuk memberi peningkatan kesan-kesan rawatan kepada penyakit-penyakit tertentu.

Kebiasaannya SOD membantu merawat penyakit yang dikenali sebagai neuro digeneratif seperti parkinson, ketar (esential tremor) dan distonia. Selain untuk penyakit neuro-digeneratif, prosedur SOD juga dikembangkan untuk merawat penyakit-penyakit lain seperti psikiatri, ‘obsessive compulsive disorder’ (OCD), ‘major depression’, kemurungan, sawan dan epilepsi.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.35 AM

Menurut Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) yang juga Pakar Bedah Otak dan Saraf, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, SOD adalah prosedur pembedahan yang melibatkan penanaman peranti yang menghantar impuls elektrik ke kawasan tertentu otak.

“Rawatan ini digunakan untuk mengawal aktiviti otak yang tidak normal yang sering menjadi punca utama pelbagai gangguan neurologi.

“Prosedur ini melibatkan tiga (3) komponen utama iaitu neurostimulator (menyerupai perentak jantung), elektrod dan wayar sambungan yang menghubungkan kedua-duanya. Neurostimulator biasanya diletakkan di bawah kulit berhampiran tulang selangka, manakala elektrod ditanam di dalam otak dan wayar sambungan menyambungkan kedua-duanya serta membolehkan neurostimulator menghantar impuls elektrik ke otak,” katanya ketika ditemu bual.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.35 AM 1

Tambah Ab Rahman Izaini, SOD membantu mengawal corak yang tidak normal dengan menghantar impuls elektrik ke kawasan tertentu otak bagi meningkatkan fungsi motor dan mengurangkan gejala.

“Bagi penghidap parkinson, sistem kawalan motor otak terjejas menyebabkan gegaran, ketegaran, dan bradykinesia (pergerakan perlahan), SOD membantu mengawal corak yang tidak normal dengan menghantar impuls elektrik ke kawasan tertentu otak bagi meningkatkan fungsi motor dan mengurangkan gejala.

“Bagi pesakit OCD pula, SOD mensasarkan bidang otak yang bertanggungjawab terhadap pemikiran obsesif dan tingkah laku yang kompulsif selain membantu mengurangkan gejala dan meningkatkan kualiti hidup pesakit,” ujarnya lagi.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.36 AM

Menurut beliau, pesakit akan dinilai terlebih dahulu oleh kumpulan pakar pelbagai multidisiplin untuk menentukan sama ada pesakit layak atau tidak menjalani pembedahan SOD.

“Salah satu kriteria wajib ialah pesakit mestilah menghidap penyakit-penyakit yang dikenal pasti mempunyai potensi memberi klinikal impak sekiranya menjalani pembedahan SOD seperti rawatan ubat-ubatan yang tidak lagi memberi faedah kepada pesakit tersebut disebabkan oleh penyakitnya semakin kronik.

“Selain itu, pesakit yang mendapat kesan sampingan yang teruk akibat daripada rawatan ubat dan tiada pilihan lain serta mempunyai kriteria-kriteria yang membolehkan pesakit menjalani pembedahan SOD contohnya pesakit kanser otak akan dipertimbangkan untuk menjalani pembedahan SOD,” jelasnya.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.36 AM 1

Ab Rahman Izaini berkata, SOD merupakan rawatan yang dikenal pasti terbukti memberikan kesan klinikal yang amat baik serta membantu meningkatkan kualiti kehidupan pesakit.

“Namun begitu, harus diingatkan bahawa rawatan SOD bukan rawatan penyembuhan sebaliknya rawatan yang membantu mengurangkan atau memanjangkan tempoh masa sahaja.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.38 AM

“Contohnya pesakit yang menghidap parkinson, penyakit ini akan bertambah teruk dari masa ke masa. Melalui rawatan SOD, ia membantu mengurangkan getar dan pada masa yang sama memberi kualiti ke arah yang lebih baik dan berguna kepada pesakit di mana pesakit boleh menjalani kehidupan seperti biasa,” terangnya lagi.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.36 AM 2

Ab Rahman Izaini turut menjelaskan bahawa pembedahan SOD biasanya dijalankan dalam keadaan pesakit sedar sepenuhnya di mana pesakit perlu berinteraksi dengan pakar yang menjalankan pembedahan tesebut.

“Rawatan SOD amat menarik kerana ia melibatkan pesakit secara aktif dan kesan selepas pembedahan dapat dilihat serta merta terutama bagi pesakit yang menghidap penyakit parkinson.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.37 AM 1

“Semasa pembedahan dijalankan, doktor akan meletakkan alat kecil yang dipanggil neurostimulator di dalam otak. Peranti ini menghantar isyarat elektrik ke bahagian otak tertentu untuk membantu mengurangkan gejala seperti masalah gegaran atau pergerakan,” jelasnya.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.38 AM 1

Menurut beliau lagi, setiap pembedahan atau perawatan mempunyai risiko sama seperti pembedahan-pembedahan lain termasuk SOD.

“SOD direka untuk mengurangkan gejala gangguan neurologi tetapi sesetengah orang mungkin mengalami gejala atau kesan sampingan tertentu selepas prosedur.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.40 AM

“Gejala biasa yang sering terjadi ialah sakit tapak pembedahan (ketidakselesaan atau kesakitan di lokasi di mana elektrod ditanam), sakit kepala yang berterusan selepas pembedahan, bengkak ringan di sekitar kawasan pembedahan, perubahan mood atau perubahan emosi, pening, kesukaran sementara untuk bercakap dengan jelas, pengecutan atau kekejangan otot dan kesukaran untuk tidur,” ujarnya.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.38 AM 2

Ab Rahman Izaini berkata, HPUSM adalah institusi pertama di Malaysia yang menawarkan rawatan SOD kepada segenap lapisan masyarakat.

“Rawatan pertama SOD telah dilakukan pada tahun 2007 dan ia telah menjangkau 17 tahun prosedur ini ditawarkan dan sebanyak 35 pembedahan SOD dilakukan sepanjang tempoh tersebut.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.40 AM 1

“Pasukan USM telah juga telah berkolaborasi dengan hospital-hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga kini terdapat lima (5) buah hospital di Malaysia yang terlibat secara aktif melakukan pembedahan ini melalui latihan pemindahan ilmu kepakaran yang disediakan oleh pasukan Neurosains USM,” terangnya lagi.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.39 AM 1

Ab Rahman Izaini turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai gejala penyakit-penyakit yang membolehkan mereka menjalani prosedur SOD agar mendapat rawatan segera bagi membantu pesakit mendapat kualiti hidup yang lebih baik.

“Pesakit yang telah menjalani rawatan SOD kebanyakannya memberi maklum balas positif dan melaporkan peningkatan yang ketara terhadap simptom yang mereka alami sebelum dan selepas pembedahan SOD.

WhatsApp Image 2025 01 16 at 11.07.37 AM

“SOD berjaya mengurangkan gegaran, meningkatkan fungsi motor dan meningkatkan kesejahteraan hidup secara keseluruhan termasuk kesihatan mental pesakit kerana ia dipercayai membantu mengurangkan kebimbangan dan kemurungan,” katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 27