‘SENOK’, ‘SEKOK’ DAN SAKIT DADA: KENALI SIMPTOM DAN PENYEBAB
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Mac 2024 - Keadaan ‘senok’, ‘sekok’ dan sakit dada merupakan simptom biasa dan kebanyakan orang awam beranggapan keadaan itu adalah simptom sakit jantung. Namun, simptom ini sebenarnya disebabkan oleh penyakit refluks iaitu gangguan pencernaan yang mungkin dikelirukan dengan gejala gastrik atau ‘medu’.
Penyakit refluks adalah singkatan untuk ‘gastroesophageal reflux disease’. Penyakit ini dikesan melalui ujian-ujian diagnostik tertentu termasuk endoskopi (suluh perut), manometri dan pH-impedance.
Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Lee Yeong Yeh berkata, adalah penting untuk semua pihak mengetahui gejala penyakit refluks kerana secara amnya ia adalah penyakit yang boleh dirawat tetapi mampu mengakibatkan komplikasi serius jika tidak dirawat dengan betul.
“Kebanyakan pesakit mengalami gangguan pencernaan semasa di peringkat remaja kerana kurang nutrisi, luka akibat aktiviti atau senaman angkat berat yang menyebabkan bahagian tersebut mengalami kecederaan dan keradangan.
“Penyakit refluks adalah keadaan yang akan menjadi teruk jika dibiarkan tanpa rawatan kerana ia berpunca daripada gangguan struktur dan fungsi dalaman badan serta faktor gaya hidup.
“Oleh itu, pesakit perlu mengambil langkah proaktif untuk menanganinya dengan berkesan,” jelasnya ketika ditemu bual dalam segmen Sembang Sihat di Kelantan FM.
Tambah Yeong Yeh, menurut kajian yang dibuat di Klinik Rawatan Keluarga (KRK), Hospital USM, seramai satu (1) dalam tiga (3) pesakit mengalami simptom ‘senok’, ‘sekok’ dan sakit dada atau penyakit refluks kerana perut mengeluarkan kandungan asid yang berlebihan pada satu-satu masa.
“Terdapat beberapa risiko yang telah dikenal pasti dengan penyakit refluks dan yang paling ketara adalah gangguan fungsi serta struktur di paip menelan dan perut.
“Kebiasaannya terdapat pintu di antara paip menelan dan perut yang menghalang asid ataupun kandungan perut lain termasuk hempedu dan kuman daripada melukakan paip menelan, tetapi pintu ini mungkin telah rosak disebabkan gangguan otot dan saraf,” katanya.
Yeong Yeh berkata, antara kesan utama penyakit refluks yang menyebabkan pesakit mengalami ‘sekok’, ‘senok’ dan sakit dada adalah luka pada paip menelan dan berkemungkinan boleh menyebabkan pendarahan.
“Selain itu, penyakit refluks yang kronik juga menyebabkan rasa ‘sekok’, ‘senok’ dan sakit dada dialami oleh pesakit yang menghidap kanser paip menelan atau perut.
“Keadaan ini turut memberi kesan kesihatan lain kepada pesakit yang mengalaminya iaitu gangguan mental, stres, gangguan emosi, panik, mudah marah, mudah menangis dan lain-lain,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, manometri adalah prosedur standard penilaian terbaik untuk menentukan fungsi otot dan saraf yang terganggu disebabkan penyakit refluks.
“Bagi pesakit yang kurang serius, ujian mungkin tidak diperlu dilakukan dan kebiasaannya doktor boleh memberi ubat terlebih dahulu untuk rawatan awal.
“Manakala bagi pesakit yang mengalami rasa ‘senok’, ‘sekok’ dan sakit dada yang lebih serius atau tiada respons dengan ubat yang diberi, maka pesakit tersebut perlu menjalani beberapa ujian yang diatur oleh pakar gastrousus.
“Ujian-ujian khas ini boleh diatur dengan lebih murah melalui pakej Perkhidmatan Kesihatan Eksekutif Hospital USM dan jika anda berminat, sila hubungi Poliklinik Eksekutif USM di talian 09-766 6200 atau layari laman ‘facebook’ USM Executive Health Services,” ulasnya lanjut.
Menurut Yeong Yeh, bagi menangani risiko penyakit refluks, orang ramai dinasihatkan untuk mengawal pemakanan dengan mengambil makanan sihat di samping memperbanyakkan aktiviti jasmani.
“Selain itu, Hospital USM turut menawarkan perkhidmatan Klinik ‘Brain-Gut’ untuk pesakit yang mengalami masalah psikologi dan gastrousus serta Klinik ‘Dysphagia’ (susah menelan) bagi mereka yang memerlukan rawatan pelbagai disiplin bagi membantu pesakit yang mengalami masalah ini.
“Ubat-ubatan biasanya diperlukan untuk mengurang refluks dan ubatan ini mungkin termasuk ubat anti-asid (contohnya: Gaviscon) dan ubat perencat pam proton (contohnya: Esomeprazole),” katanya.
Teks: Marlina Zahari / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 51