SEMINAR JOM KENALI ANAK ANDA 2025 BUKA MATA IBU BAPA TENTANG PERKEMBANGAN ANAK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 April 2025 - Usaha memperkasa kesedaran masyarakat tentang perkembangan kognitif, sensori, sosial dan motor anak-anak terus diperkukuhkan melalui penganjuran Seminar Jom Kenali Anak Anda 2025 yang berlangsung di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.
Pengarah Hospital Pakar USM (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izani Ghani @ Ab Ghani dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Bahagian Pemulihan Carakerja, Unit Perubatan Pemulihan HPUSM sebagai penganjur program berimpak tinggi ini.
Menurut beliau, seminar seumpama itu memberi pendedahan berguna kepada ibu bapa, penjaga dan pendidik mengenai kaedah memahami perkembangan anak-anak.
“Di samping itu, ia dapat membantu komuniti mengenali strategi dan kemahiran praktikal bagi mengatasi cabaran perkembangan kanak-kanak dalam aspek kognitif, interaksi sosial serta kemahiran motor halus.
“Saya yakin, program seperti ini menjadi platform terbaik untuk memperluaskan kefahaman masyarakat tentang kepentingan intervensi awal serta peranan terapi carakerja dalam meningkatkan kualiti hidup anak-anak,” katanya ketika merasmikan seminar tersebut.
Beliau turut memuji komitmen tinggi pegawai dan jurupulih carakerja HPUSM yang sentiasa mengadakan mesyuarat kerjasama secara berkala demi memperkukuh perkhidmatan dan merancang aktiviti pemantapan profesionalisme dalam bidang pemulihan carakerja.
Tambah beliau lagi, penganjuran seminar ini juga bukan hanya berupaya mengeratkan hubungan dalam kalangan profesional terapi carakerja, malah menjadi medium mendidik masyarakat tentang kepentingan rawatan pemulihan sebagai usaha membantu pesakit menuju kehidupan yang lebih berdikari dan bermakna.
Program itu diteruskan dengan empat slot ceramah ilmiah yang mengetengahkan pelbagai topik berkaitan perkembangan kanak-kanak, antaranya, ‘Perkembangan Psikologi Kanak-Kanak’ yang disampaikan Pakar Psikologi Klinikal HPUSM, Profesor Madya Dr. Azizah Othman; ‘Kesan Positif dan Negatif Gajet untuk Perkembangan Kanak-Kanak’ oleh Pakar Psikiatri HPUSM, Dr. Norzila Zakaria; ‘Pengenalan Kepada Kondisi’ oleh Pakar Perubatan Pemulihan HPUSM, Dr. Wan Mohd Aiman Wan Ab Rahman, ‘Pengenalan kepada Terapi Carakerja Kanak-Kanak’ oleh Jurupulih Perubatan Carakerja HPUSM, Zulhelmi Ab Wahab dan diakhiri dengan tajuk 'Aktiviti Sensori Integrasi Untuk Anak-Anak' oleh Pegawai Pemulihan Carakerja, Hasnetty Zuria Muhammad Hatta.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Pemangku Penyelaras Unit Perubatan Pemulihan HPUSM, Dr. Al Hafiz Ibrahim.
Teks: Rosalwani Che Soh dan Nik Nur Khalisah Umairah Nik Mansur (Pelajar Latihan Industri UiTM) /Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 15