SEMBELIT USAH DIPANDANG ENTENG, MUNGKIN PETANDA AWAL KANSER KOLOREKTAL
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Disember 2023 - Kanser kolorektal atau kanser usus besar adalah kanser yang berlaku di bahagian kolon atau rektum dan kebanyakan dihidapi oleh kaum lelaki.
Kanser kolorektal kerap berlaku di dunia dan risiko menghidap kanser ini meningkat apabila usia semakin bertambah dan biasanya dijumpai dalam kalangan mereka yang berumur 50 tahun ke atas.
Menurut Timbalan Pengarah (Klinikal), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Pakar Perunding Pembedahan Am dan Kolorektal, Profesor Dr. Zaidi Zakaria, kanser kolorektal biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal dan memahami penyakit yang boleh dirawat ini adalah langkah pertama untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
“Penyakit ini biasanya bermula dengan polip (unjuran berbentuk jejari) di dalam usus sebelum berubah menjadi kanser.
“Individu yang menghadapi perubahan tabiat membuang air besar secara tiba-tiba perlu berwaspada kerana ia adalah antara simptom kanser kolorektal.
“Jika tabiat itu berlanjutan, segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk menjalani ujian kerana jika dikesan di peringkat awal, peratus untuk sembuh masih tinggi,” katanya ketika ditemu bual berhubung penyakit kanser ini.
Zaidi berkata, simptom kanser kolorektal atau tanda amaran penyakit ini boleh dikesan sejak awal sebelum ia menjadi kanser iaitu ketika polip.
“Namun, disebabkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat masih rendah, kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital biasanya sudah berada pada tahap tiga (3) dan empat (4).
“Sekiranya sel kanser sudah berada pada tahap empat (4), peratusan untuk sembuh sepenuhnya rendah berikutan sel sudah merebak ke organ lain seperti paru-paru, hati, tulang dan otak,” jelasnya lagi.
Tambah Zaidi, simptom utama kanser kolorektal ialah perubahan tabiat membuang air besar secara tiba-tiba iaitu daripada setiap hari menjadi dua hari atau lebih (sembelit) tanpa sebab.
“Manakala simptom-simptom lain pula ialah cirit-birit secara tiba-tiba, pendarahan dalam najis, sakit perut, muntah, perut berasa tidak selesa, kerap mengalami pedih perut atau kekejangan dan rasa kenyang atau kembung.
“Simptom lain yang agak lewat ialah seperti kurang selera makan sehingga berat badan susut serta kelesuan dan keletihan akibat kurang darah merah,” ujarnya.
Beliau berkata, terdapat beberapa ujian yang akan dijalankan untuk mengesan kanser kolorektal seperti ujian najis (FOBT – ‘Fecal Occult Blood Test’), ujian sigmoidoskopi dan ujian kolonoskopi.
“Ujian najis (FBOT) adalah ujian yang dijalankan untuk mengesan darah dalam najis dengan mengambil sampel najis dan dihantar ke makmal untuk melihat kewujudan darah dalam najis manakala ujian sigmoidoskopi dan ujian kolonoskopi pula dijalankan secara memasukkan tiub melalui lubang dubur ke dalam rektum dan penghujung kolon untuk mengesan polip atau kanser di dalamnya.
“Semasa prosedur ini dijalankan, pakar boleh melihat dan membuang polip atau ketumbuhan yang dipercayai kanser serta mengambil sedikit tisu untuk ujian biopsi (pemeriksaan di bawah mikroskop bagi mengesan sel kanser),” ulasnya lanjut.
Kata Zaidi, terdapat beberapa pilihan rawatan untuk pesakit kanser kolorektum. Namun, kebanyakan kanser ini dibuang melalui kaedah pembedahan.
“Jika pesakit didiagnos menghidap kanser kolorektal peringkat awal, pendekatan laparoskopi (pembedahan lubang kecil) atau polipektomi (mengeluarkan polip semasa kolonoskopi) adalah antara pilihan rawatan yang biasa dilakukan.
“Namun, sekiranya kanser itu sudah berada pada tahap lebih lanjut, biasanya pesakit disarankan melakukan pembedahan terbuka untuk membuang kanser dan tisu kolon di sekeliling nodus limfa (kelenjar).
“Selain itu, kaedah kimoterapi, terapi sinaran, imunoterapi dan terapi ubat yang disasarkan juga antara pilihan rawatan yang biasa ditawarkan bergantung kepada tahap kanser yang dihidapi pesakit,” jelasnya.
Menurut Zaidi, sekiranya kanser kolorektal lambat dikesan, prosedur rawatan menjadi lebih sukar selain kesan sampingan yang lebih teruk apabila kemungkinan sebahagian usus lebih panjang perlu dibuang.
Akuinya, kebanyakan rakyat Malaysia enggan melakukan ujian saringan awal dan mengambil mudah terhadap simptom-simptom kanser ini dengan alasan takut, malas dan tiada masa.
“Tahap kesedaran masyarakat kita masih rendah untuk menjalani ujian saringan kerana bagi mereka, selagi tidak sakit ujian saringan tidak perlu dilakukan.
"Kanser kolorektal boleh dikesan awal menerusi ujian kolonoskopi dan jika ketumbuhan belum menjadi kanser, ia sudah pasti dapat dirawat sekaligus mengelak menjadi kanser.
"Ini kerana ketumbuhan mengambil masa bertahun untuk menjadi kanser dan pencegahan awal lebih baik,” katanya.
Zaidi turut menasihatkan individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser menjalani ujian saringan untuk pengesanan awal sebagai langkah berjaga-jaga.
“Sekiranya tiada sejarah keluarga menghidap kanser terutama bagi individu berusia 50 tahun ke atas, anda boleh menjalani ujian saringan untuk pengesanan awal kerana ia merupakan langkah terbaik untuk mengenal pasti tanda dan gejala awal kanser kolorektal supaya rawatan boleh dijalankan secepat mungkin.
“Selain itu, orang ramai juga dinasihat mengamalkan gaya hidup sihat, jaga pemakanan menerusi pengambilan makanan yang kaya dengan serat, tidak merokok, tidak mengambil minuman beralkohol serta sentiasa bersenam untuk mengelak obesiti sebagai langkah mencegah kanser ini,” ujarnya lagi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 63