SAMBUTAN HARI BAYI PRAMATANG TINGKAT KESEDARAN RAMAI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 November 2024 - Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung kelahiran bayi pramatang dan cabaran yang dihadapi oleh bayi berkenaan dan keluarganya, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan Sambutan Hari Bayi Pramatang 2024 Peringkat Hospital Pakar USM pada 18 hingga 23 November lalu.
Sambutan itu diadakan bertujuan memberi sokongan fizikal, emosi, dan psikologi kepada keluarga bayi pramatang selain menyediakan maklumat mengenai penjagaan dan rawatan bayi pramatang untuk ibu bapa dan penjaga.
Sambutan yang disertai kira-kira 300 peserta turut bertujuan menggalakkan pemahaman masyarakat terhadap kepentingan penjagaan yang rapi untuk bayi pramatang bagi menjamin perkembangan yang sihat serta memupuk kerjasama antara hospital, komuniti dan pihak berkepentingan dalam menyediakan sokongan berterusan untuk bayi pramatang dan keluarga mereka.
Sambutan ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran kesedaran, pertunjukan fesyen, pertandingan mewarna dan kemuncak sambutan dengan acara berjalan kaki ‘Preemie Walk’.
Penganjuran sambutan ini membuktikan pentingnya kerjasama antara pihak kesihatan, keluarga dan masyarakat dalam mewujudkan komuniti yang lebih prihatin dan inklusif. Semoga ia menjadi pemangkin kepada inisiatif yang lebih besar pada masa hadapan selain terus menyemarakkan solidariti dan harapan untuk bayi pramatang dan keluarga mereka.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Muhammad Khairul Amri Yusoff
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 18