Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

REBORN REHAB RAIH KEJAYAAN BERGANDA KONVENSYEN KIK UNIVERSITI AWAM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Ogos 2024 – Kumpulan Reborn Rehab dari Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM meraih kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai johan dan memenangi kategori persembahan terbaik serta penarafan emas dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) antara Universiti Awam pada 8 Ogos lalu.

IMG 20240811 WA0004

Dalam konvensyen yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMP) itu, Pasukan Reborn Rehab yang mempertaruhkan projek SUPER-T mengungguli pertandingan apabila diumumkan sebagai johan dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 beserta trofi dan sijil.

SUPER-T merupakan gabungan lima (5) fungsi dalam satu (1) alat yang dicipta khas untuk membantu rawatan pemulihan kanak-kanak yang mengalami masalah kelewatan perkembangan seperti ‘cerebral palsy’.

IMG 20240811 WA0008

Lima (5) fungsi yang digabungkan dalam SUPER-T ialah berdiri menghadap ke hadapan dan ke belakang, duduk, pindahan (transfer), latihan bangun dan duduk serta latihan motor halus.

Selain itu, SUPER-T juga dihasilkan bertujuan membantu ibu bapa atau penjaga melatih dan merawat anak mereka yang menghadapi masalah lewat perkembangan di rumah secara berterusan. Ia juga mengurangkan kebergantungan kepada sesi rawatan di hospital selain menjimatkan masa yang terpaksa dilalui pesakit semasa mendapatkan rawatan disebabkan perlu menggunakan lima (5) alat yang berlainan.

IMG 20240811 WA0005

SUPER-T telah diuji dan digunakan untuk rawatan di Hospital USM dan mendapat sambutan yang menggalakkan kerana harga yang ditawarkan adalah mampu milik.

Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman merakamkan ucapan tahniah kepada Kumpulan Reborn Rehab atas kejayaan yang dirangkul mereka.

IMG 20240811 WA0006

“Pengurusan Hospital USM sentiasa meraikan idea-idea baharu, inovasi serta kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan, khususnya yang memberi manfaat daripada aspek penjimatan masa dan kos serta mampu meningkatkan kualiti dan kepuasan kepada pesakit.

“Saya percaya kejayaan ini adalah hasil usaha kerja berpasukan serta semangat yang tinggi daripada setiap ahli untuk membantu masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.

IMG 20240811 WA0007

“Teruskan usaha untuk mengekalkan kejayaan ini dan jangan lokek untuk berkongsi ilmu dengan staf di unit atau jabatan lain bagi melahirkan pelapis yang mempunyai semangat serta keazaman yang sama,” jelasnya semasa menyantuni pasukan ini, hari ini.

Nik Hisamuddin turut memberi dorongan dan berharap agar lebih ramai individu serta pasukan dalam kalangan warga kerja Hospital USM dan Kampus Kesihatan yang meneruskan kesinambungan pasukan ini dengan mengembangkan idea-idea dan inovasi baharu untuk faedah rakyat.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 5