Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

PROSEDUR TAVI KURANGKAN RISIKO KEMATIAN PESAKIT INJAP JANTUNG

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 November 2023 – Sejak tahun 2021, prosedur penggantian injap jantung tanpa pembedahan terbuka (open heart surgery) yang dikenali sebagai ‘Transcatheter Aortic Valve Implantation’ (TAVI) mula diperkenalkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Prosedur TAVI adalah untuk merawat pesakit yang mengalami injap aortik tersumbat (aortic stenosis) sehingga mengakibatkan kemerosotan fungsi injap untuk menyalurkan darah ke seluruh anggota badan.

900f75e9 2717 4fe8 8b66 dc41357c3052

Menurut Pakar Perunding Kardiologi yang juga Penyelaras Makmal Kardiologi Hospital USM, Dr. Wan Yus Haniff Wan Isa, faktor usia menjadi salah satu punca utama injap jantung seorang individu rosak.

“Kebanyakan individu berusia 65 tahun ke atas biasanya mengalami masalah injap aorta jantung apabila ianya menjadi rosak, keras dan sempit yang dinamakan sebagai aortic stenosis (AS).

“Apabila penyempitan berlaku, jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah yang perlu membawa oksigen ke seluruh badan serta otak dan hal ini boleh mengakibatkan individu tersebut mengalami sakit dada, pening atau pengsan,” katanya ketika ditemu bual.

b00b8b7b 33a2 4607 ba8d 80c4474d675b 1

Tambah Wan Yus, dengan kecanggihan teknologi terkini, proses penggantian injap aorta jantung boleh dilakukan melalui prosedur TAVI.

“Prosedur TAVI masih belum meluas di negara ini kerana faktor kos yang tinggi iaitu antara RM100,000 hingga RM130,000 bagi setiap kes dan kurangnya pengetahuan mengenai prosedur ini dalam kalangan masyarakat.

“Pembedahan terbuka biasanya mengambil masa yang agak panjang iaitu sehingga tiga (3) atau empat (4) jam, namun prosedur TAVI mengambil masa yang lebih pendek.

“Selain itu, dalam tempoh satu (1) hingga dua (2) hari selepas menjalani prosedur TAVI, kebanyakan pesakit sudah dibenarkan pulang dan dalam tempoh seminggu mereka sudah boleh melakukan aktiviti seperti biasa,” jelasnya lagi.

Wan Yus berkata, prosedur TAVI berbeza dengan rawatan pembedahan terbuka yang mana proses penyembuhannya mengambil masa antara dua (2) hingga tiga (3) bulan.

4141bf6b 4ca6 470a 9756 33d967627dd9 1

“Prosedur TAVI juga lebih selamat berbanding pembedahan terbuka bagi pesakit yang berusia kerana selain mengurangkan risiko kematian, ia dapat mengurangkan risiko strok ketika pembedahan, masalah kegagalan buah pinggang serta kehilangan darah.

“Ini kerana prosedur TAVI dibuat dengan cara melakukan satu cucukan di pangkal peha kiri atau kanan untuk dimasukkan satu tiub ke dalam saluran darah sehingga ke injap jantung.

“Injap jantung gantian akan dimasukkan menerusi tiub itu secara perlahan-lahan dan selepas injap ditukar ia akan berkembang dan mengambil alih fungsi injap asal,” jelasnya lagi.

Wan Yus berkata, selepas itu tiub akan dikeluarkan semula dan doktor akan menutup luka hirisan kecil di bahagian paha pesakit.

“Di Hospital USM, injap gantian yang digunakan adalah daripada tisu lembu dan bahan ini diuji keberkesanannya selain membantu injap berfungsi seperti sediakala.

faee33bb a298 476f bf7e b9bdeac777d3

“Jantung akan berdenyut dengan lebih baik dan pesakit boleh bernafas serta melakukan aktiviti harian seperti biasa.

"Jangka masa hayat pesakit juga dapat dilanjutkan sehingga 10 tahun selepas menjalani prosedur TAVI iaitu bersamaan dengan daya tahan injap yang digantikan berbanding tanpa prosedur TAVI atau penggantian injap, pesakit akan mengalami masalah kualiti hidup terjejas serta masalah kegagalan jantung dalam masa dua (2) tahun atau boleh berlaku kematian," katanya.

Menurut Wan Yus, kebanyakan pesakit yang mengalami injap sempit atau injap bocor sebelum ini hampir berputus asa disebabkan kebanyakan hospital tidak sanggup mengambil risiko melakukan pembedahan terbuka kerana faktor usia mereka menyebabkan kadar kematian yang tinggi.

“Namun setelah dimaklumkan tentang prosedur TAVI dan dengan kecanggihan teknologi peralatan TAVI, ia memberi peluang kepada pesakit menjalani pembedahan melalui prosedur yang singkat, luka yang sedikit serta tidak meninggalkan parut.

“Selain itu, pesakit yang melakukan prosedur TAVI juga tidak perlu mengambil ubat mencairkan darah (warfarin) seperti pesakit yang melakukan pembedahan terbuka yang mana ubat tersebut perlu dimakan secara berterusan seumur hidup serta perlu selalu ke hospital untuk pemantauan,” ulasnya lanjut.

Wan Yus turut menyarankan pesakit yang mengalami masalah injap sempit atau AS yang berusia 65 tahun ke atas dan mempunyai risiko tinggi untuk dibedah supaya mengambil peluang melakukan prosedur TAVI.

“Mana-mana pesakit yang mengalami masalah pening, pengsan atau sakit dada dan berumur 65 tahun ke atas, dapatkan rawatan atau nasihat pakar dengan segera untuk mengesan masalah kesihatan kerana dikhuatiri anda mungkin mengalami AS.

“Semua pihak perlu lebih cakna tentang kesihatan masing-masing kerana pelbagai rawatan disediakan dengan kecanggihan teknologi terkini,” jelasnya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 170