Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

'PRE-HOSPITAL CARE’ MANDAT BAHARU PERKUKUH PROFESION PPP HOSPITAL USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Mac 2024 – ‘Pre Hospital Care’ (PHC) atau lebih dikenali sebagai penjagaan pra hospital merupakan perkhidmatan rawatan awalan yang diberikan kepada pesakit dan dilakukan di luar hospital dalam situasi kecemasan untuk mengurangkan morbiditi dan mortaliti sebelum pesakit tiba di fasiliti perubatan.

Penolong Pegawai Perubatan (PPP) diberi mandat dan amanah untuk menerajui PHC kerana PPP merupakan profesion yang terlatih dan profesional dalam melakukan perawatan awal.

IMG 20240304 WA0022

IMG 20240304 WA0024

Menurut Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman, PPP antara pasukan barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam bidang perubatan dan perawatan.

“Ia dapat dilihat melalui pembabitan mereka dalam perkhidmatan penjagaan pra hospital dan ambulans selain turut menggembleng tenaga melunaskan tanggungjawab mengetuai dan menyelaras perkhidmatan ini dengan bertindak sebagai 'first responder'.

IMG 20240304 WA0027

IMG 20240304 WA0021

“Mereka melakukan penilaian keadaan persekitaran tempat kejadian daripada aspek keselamatan, jumlah masa yang terlibat dan jenis kes (trauma atau bukan trauma) serta tahap kecemasan (triaging).

“Ini mencerminkan kesungguhan dan dedikasi PPP memberi perkhidmatan penjagaan pra hospital secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dan negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula PHC Jabatan Kecemasan 2024 Peringkat Hospital USM, hari ini.

IMG 20240304 WA0023

IMG 20240304 WA0025

Tambah Nik Hisamuddin, penjenamaan semula imej PHC Hospital USM adalah bagi memberi nafas baharu dalam perkhidmatan perawatan pra hospital yang selari dengan visi dan misi Hospital USM iaitu menerajui bidang perawatan kecemasan dengan positif, progresif dan dinamik.

“Logo baharu juga telah direka bagi menunjukkan komitmen, keunikan identiti dan meningkatkan keterlihatan (visibility) PHC Hospital USM.

“PHC Hospital USM juga buat julung kalinya telah mengeluarkan panduan sendiri selari dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu dengan memperkenalkan Buku Panduan Perkhidmatan Pra-Hospital USM 2023 edisi 1.0 serta baju baharu PHC bagi menampakkan aura positif anggota yang sering kali terlibat dengan aktiviti latihan bersama pihak luar.

IMG 20240304 WA0026

IMG 20240304 WA0028

“Baju biru putih akan digunakan untuk aktiviti luar seperti liputan perubatan, kursus bencana dan sebagainya manakala baju korporat kelabu hitam akan digunakan untuk sebarang acara rasmi,” jelasnya lagi.

Nik Hisamuddin turut berharap agar PPP Hospital USM terus menyumbang bakti dan komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit Hospital USM.

“Saya yakin, profesion PPP akan terus berkembang maju bagi memenuhi aspirasi seperti yang diharapkan.

“Semoga semua PPP sentiasa bermotivasi untuk meningkatkan keupayaan dalam menyumbang kemahiran, idea, tenaga serta kepakaran untuk kebaikan organisasi dan masyarakat,” ujarnya.

Turut hadir ialah Ketua Perkhidmatan Kecemasan Negeri Kelantan dan Pakar Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II), Dr. Razak Daud Farid; Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Kampus Kesihatan USM, Ir. Engku Nazli Engku Mohd Ariffin; Timbalan Pengarah, Jabatan Keselamatan Kampus Kesihatan, Eady Othman; Pensyarah dan Pakar Perubatan Kecemasan mewakili Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Dr. Mohd Zikri Ahmad; Penyelaras PHC yang juga Pakar Perubatan Kecemasan, Dr. Mohd Faiz Mohd Shukri dan Ketua Penyelia Jururawat Hospital USM, Maimunah Hasan.

Teks: Marlina Zahari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 57