PPK TUNJANG KELANCARAN PERKHIDMATAN PERAWATAN PESAKIT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 November 2024 – "Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kelancaran operasi dan keberkesanan perkhidmatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) kerana mereka adalah tulang belakang dalam perkhidmatan perawatan pesakit,” demikian kata Pengarah HPUSM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman.
Menurut beliau, seramai 616 orang PPK berkhidmat di HPUSM sebagai penyokong utama dalam operasi harian hospital dan jumlah yang signifikan ini mencerminkan kekuatan struktur organisasi yang kukuh.
"Pengurusan HPUSM amat menghargai kerjasama erat antara PPK dan jururawat dalam memastikan pesakit sentiasa menerima perkhidmatan terbaik.
"Tahap kecemerlangan seseorang itu bukan diukur hanya berdasarkan kemahiran teknikal sahaja tetapi juga melalui sikap profesional serta nilai murni yang ditunjukkan setiap hari.
“Kecekapan dalam tugas dan kebolehan untuk memberi sokongan emosi kepada pesakit adalah cerminan nilai madani sejati yang kita semua harus junjung dalam mencapai kejayaan organisasi," katanya ketika berucap
sempena Sambutan Hari PPK Peringkat HPUSM 2024 di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Tambah Nik Hisamuddin, pengurusan HPUSM tidak pernah melupakan usaha gigih dan pengorbanan PPK dalam aspek kebersihan dan penjagaan semasa pesakit menerima rawatan.
"Setiap tindakan kecil yang dilakukan seperti memberi senyuman atau mendengar keluhan pesakit adalah satu langkah menuju kecemerlangan dalam tugas.
"Saya juga ingin mengingatkan semua PPK di HPUSM agar mengekalkan nilai-nilai profesionalisme dan integriti dalam menjalankan tugas seharian,” ujarnya lagi.
Nik Hisamuddin turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua PPK, tidak kira yang masih berkhidmat atau yang telah bersara di atas jasa dan bakti yang tidak ternilai semasa berkhidmat sejak awal penubuhan HPUSM.
“Saya berharap sambutan ini akan menjadi motivasi kepada PPK untuk terus meningkatkan komitmen dan kecemerlangan dalam bidang masing-masing dan teruskan perjuangan dalam perkhidmatan ini terutama membantu pesakit dan universiti amnya," jelasnya.
Sambutan Hari PPK disambut pada 1 November setiap tahun di seluruh negara bagi menghargai tugas dan tanggungjawab mereka sebagai PPK.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Yang Menjalankan Fungsi Ketua Penyelia Jururawat, Norhayati Mohamad dan Ketua PPK HPUSM, Mohd Zuhil Muhammad.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 34