POTONGAN ZAKAT MELALUI PUSAT ISLAM USM BANTU GOLONGAN KURANG BERKEMAMPUAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Ogos 2023 – Buat julung kalinya, Pusat Islam Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan 'Town Hall' Zakat Kampus Kesihatan yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.
Penganjuran program ini ekoran USM Kampus Kesihatan dilantik sebagai amil zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang dipengerusikan oleh Pengarah Kampus dan Pusat Islam sebagai urusetia.
Program ini juga bertujuan untuk menghebahkan kepada warga kampus mengenai bantuan yang disediakan oleh Tabung Amil Zakat Kampus Kesihatan serta menggalakkan staf membuat bayaran zakat melalui potongan gaji.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, pada tahun 2022, kutipan zakat pendapatan daripada warga kampus kesihatan sangat memberangsangkan dengan jumlah menghampiri 1,500 orang staf yang membuat potongan gaji.
“Kutipan yang berjaya dikumpul melebihi RM3 juta dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 peratus (%) akan dikembalikan kepada USM di bawah kelolaan Pusat Islam bagi merancang serta melaksanakan pelbagai program bantuan demi menyantuni warga kampus termasuk pelajar, staf, pesakit, peneman pesakit di Hospital USM, kariah Masjid Mukim Kampus Kesihatan dan komuniti sekitar.
“Antara bantuan yang diurus oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan ialah bantuan sara hidup untuk pelajar, bantuan kecemasan, bantuan ihsan, gerobok rezeki untuk pelajar, bantuan kemasukan anak ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), bantuan persekolahan awal tahun, kit Maidaturrahman, sumbangan rahmah untuk pesakit dan banyak lagi," katanya ketika merasmikan program tersebut.
Tambah Shaharum, seiring dengan misi USM sebagai sebuah universiti perintis, berintensifkan penyelidikan rentas bidang yang memperkasakan bakat masa hadapan dan mengupayakan golongan terkebawah demi mentransformasi kesejahteraan sosioekonomi mereka, bantuan ini diharap menyumbang kepada perkembangan kualiti kehidupan mereka secara holistik.
“Secara keseluruhannya, saya berasa amat bertuah dan gembira dengan komitmen serta kesungguhan Pusat Islam Kampus Kesihatan yang berjaya menambah baik kaedah promosi dan penerangan berkenaan peri pentingnya mengeluarkan zakat serta faedah berzakat melalui USM.
“Semoga tahun ini serta tahun-tahun mendatang, Pusat Islam dapat meneruskan kecemerlangan melaksanakan tanggungjawab dan amanah ini dengan lebih baik,” jelasnya lagi.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada MAIK yang sentiasa menyokong USM dan ucapan tahniah kepada warga Kampus Kesihatan yang menunaikan kewajipan berzakat melalui USM kerana sumbangan tersebut sangat membantu mereka yang memerlukan.
Turut hadir ialah Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Ketua Pegawai Baitulmal MAIK mewakili Timbalan Yang Dipertua MAIK, Haji Ridhwan Abdul Rahman; Ketua Pegawai Zakat MAIK, Ustaz Ameer Azeezy Tuan Abdullah dan Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Amira Abdul Sattar@Ismail.
Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 79