Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

PIAGAM PELANGGAN : LANGKAH HOSPITAL USM MENUJU PERKHIDMATAN KESIHATAN BERKUALITI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 November 2023 – Piagam Pelanggan Klinik Warga merupakan satu dokumen penting merangkumi janji dan komitmen Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada masyarakat.

IMG 20231109 WA0021

Dokumen ini menetapkan carta hak dan tanggungjawab pelanggan serta staf kesihatan bagi memastikan semua pihak memahami peranan mereka dalam proses perubatan.

IMG 20231109 WA0022

Menurut Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman, piagam pelanggan amat penting bagi menerangkan kepada pelanggan jenis-jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh Klinik Warga atau mana-mana jabatan di Hospital USM.

“Saya amat berbangga atas inisiatif jawatankuasa penganjur melaksanakan program seumpama ini yang jelas mempamerkan garis panduan dan perkhidmatan yang ingin disampaikan kepada pelanggan Hospital USM.

IMG 20231109 WA0020

“Piagam pelanggan juga bertujuan menerangkan hak-hak yang patut diperoleh pelanggan dalam bentuk jaminan bertulis dan penyampaian perkhidmatan agar ia selari dengan apa yang telah termaktub dalam piagam tersebut.

“Oleh itu, semua staf perlu peka kepada keperluan dan kemahuan pelanggan seperti yang tertera pada piagam pelanggan itu,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Piagam Pelanggan Klinik Warga, Hospital USM, hari ini.

IMG 20231109 WA0023

Tambah Nik Hisamuddin, piagam pelanggan merupakan satu ‘charter’ kualiti yang menunjukkan keupayaan jabatan dalam membekalkan pengeluaran atau perkhidmatan dengan keyakinan dan kepercayaan bahawa pengeluaran atau perkhidmatan mereka dapat menepati standard yang dikehendaki oleh pelanggan pada setiap masa, khususnya pada jangka masa yang telah dijanjikan.

“Sesuatu keluaran atau perkhidmatan yang berkualiti hanya boleh dihasilkan jika organisasi mengutamakan dan mengamalkan prinsip-prinsip kualiti pada keseluruhannya.

IMG 20231109 WA0019

“Sebagaimana terhasilnya piagam pelanggan ini, begitulah harapan saya kepada semua staf agar memahami dan mempraktikkan segala isi yang terkandung di dalamnya sekaligus memberi perawatan yang terbaik kepada para pesakit,” ujarnya lagi.

Nik Hisamuddin turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada jawatankuasa yang telah berusaha menjayakan majlis itu dan mengingatkan agar semua pihak melaksanakan tugas dan menghayati nilai-nilai yang baik dalam tugasan dan fokus kepada aspirasi universiti dalam meningkatkan kefahaman pengurusan kualiti menyeluruh.

Teks : Muhd Zulkifli Zakaria / Foto : Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 170