PETUGAS KESIHATAN HOSPITAL USM SANTUNI PENDUDUK NENGGIRI SEMPENA PROGRAM 'OUTREACH' KPT@KELANTAN 2024
GUA MUSANG, KELANTAN, 2 Ogos 2024 - Selaras dengan matlamat Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani sektor kesihatan iaitu membawa kemudahan saringan perubatan dan kesihatan ke kawasan pedalaman, petugas kesihatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini turun padang menyantuni komuniti setempat di Kampung Limau Kasturi 2, Nenggiri menerusi Program 'Outreach' KPT@Kelantan 2024. Program ini dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan delegasi KPT serta institusi-institusi pendidikan tinggi di bawah KPT.
Pasukan petugas kesihatan yang diketuai Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria itu disertai 26 orang kakitangan perubatan dan sokongan menjalankan saringan kesihatan asas seperti pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan paras gula, saringan kesihatan pergigian serta pemeriksaan tahap kolestrol.
Fasiliti klinik bergerak yang merupakan sumbangan daripada KPT turut dibawa ke lokasi bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan khusus dibuat kepada golongan sasar iaitu komuniti luar bandar dan B40.
Pengunjung yang hadir turut berkesempatan diperiksa dan diberi konsultasi kesihatan oleh doktor pakar termasuk sebahagiannya dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran bagi pemeriksaan dan rawatan susulan.
Terdahulu pada sebelah pagi, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang mewakili Naib Canselor USM turut turun padang mengiringi Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ke Balai Raya Kampung Serian Batu 11 bagi menyantuni penduduk di situ.
Teks & Foto: Mohamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 12