Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

PERANAN RADIASI DALAM PERUBATAN, KEPELBAGAIAN PERKONGSIAN ILMU PROGRAM KPT PRIHATIN MADANI

JELI, KELANTAN 14 September 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi sekali lagi turun padang menyantuni penduduk daerah Jeli melalui program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin Madani: ‘Kesedaran Radiasi dalam Perubatan dan Perkaitan dengan Kesihatan Lelaki dan Wanita', hari ini.
 IMG 20230914 WA0013
 
Program bertemakan ‘Rawat Sebelum Rebah’ ini dijalankan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli, Majlis Daerah Jeli, Pejabat Kesihatan Daerah Jeli, Klinik Kesihatan Batu Melintang dan Jabatan Farmasi, Hospital USM. 
 
Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, program ini diadakan bertujuan berkongsi ilmu pendidikan kesihatan berkaitan peranan radiasi dalam perubatan kepada masyarakat ekoran segelintir pesakit tidak mengetahui kesan sampingan rawatan menggunakan bahan radioaktif terhadap kesihatan sistem pembiakan lelaki dan wanita seperti penyakit kanser tiroid, payudara dan mulut.
 
IMG 20230914 WA0015
 
“Berdasarkan statistik, jumlah pesakit kanser yang dirawat di Hospital USM semakin bertambah dari tahun ke tahun dan jumlah pesakit kanser yang dirawat pada tahun 2022 adalah seramai 10,875 orang serta dilihat terus meningkat pada tahun ini.
 
“Keadaan ini berlaku kerana masih ramai masyarakat kurang pendedahan tentang ilmu pendidikan kesihatan berkaitan radiasi dalam perubatan,” ujar beliau semasa berucap merasmikan program tersebut.
 
IMG 20230914 WA0010
 
Tambah Shaharum, seiring dengan peredaran perkembangan teknologi terkini, pelbagai mesin berteknologi baharu digunakan untuk merawat, mengesan serta mencegah kanser disediakan oleh pihak Hospital USM. 
 
"Hospital USM juga merupakan Hospital Pengajar Universiti (HPU) pertama dan satu-satunya pusat rujukan yang menyediakan perkhidmatan perubatan nuklear, radioterapi dan onkologi di Pantai Timur.
 
IMG 20230914 WA0014
 
“Perubatan nuklear adalah salah satu cabang perubatan yang menggunakan radiasi untuk memperoleh maklumat,” jelasnya lagi.
 
Shaharum berkata, program ini juga diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan kesuburan lelaki dan wanita serta kaedah-kaedah pencegahan kehamilan yang ada. 
 
IMG 20230914 WA0011
 
"Pesakit wanita yang dalam prosedur rawatan radioiodine tidak digalakkan hamil bagi mengelak sebarang risiko kepada bayi dan pesakit itu sendiri.
 
IMG 20230914 WA0012
 
“Saya percaya, menerusi program ini, komuniti Jeli dapat meningkatkan pengetahuan dan keyakinan tentang rawatan yang diberikan seiring dengan kepentingan penggunaan sinaran perubatan dalam diagnosis dan rawatan yang semakin meningkat pada masa kini,” ulasnya lanjut.
 
IMG 20230914 WA0016
 
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Jajahan, Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli, Mohd Shaifudeen Md Salleh; Setiausaha Majlis Daerah Jeli, Nik Mohamad Fahmi Nik Daud dan Pengarah Program, Dr. Norazlina Mat Nawi.
 
Teks: Awanis Adlin Azmi & Nurul Farah Hani Abd Rahim (Pelajar Latihan Industri UniMAP) / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 78