Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

PERANAN BIOINFORMATIK DALAM KESIHATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Jun 2024 – Bioinformatik merupakan bidang sains yang menggabungkan biologi, sains komputer dan matematik menjadi penting dalam memahami dan menyelidik data biologi besar. Bioinformatik juga digunakan untuk menganalisis dan menginterpretasi data genomik, proteomic dan data biologi lainnya untuk memahami penyakit dan mencari rawatan baharu.

IMG 20240602 WA0008

Menurut Pensyarah Program Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Shuhaila Mat Sharani, sejarah bioinformatik bermula pada tahun 1970-an dengan perkembangan teknik pengiraan menggunakan komputer untuk menganalisis urutan ‘Deoxyribonucleic Acid’ (DNA) yang disusun dalam format digital.

“Dengan kemajuan teknologi komputer dan penjujukan DNA, bidang bioinformatik ini berkembang pesat dengan kejayaan projek Penjujukan Genom Manusia yang menjadi tonggak penting dalam pemahaman struktur dan fungsi genom manusia.

“Melalui aplikasinya dalam kesihatan, bioinformatik memainkan peranan penting dalam menyusun dan menganalisis data genomik untuk mengenal pasti gen yang berkaitan dengan penyakit.

“Ini membantu dalam diagnosis awal dan rawatan penyakit dengan mengidentifikasi penanda genetik serta mencipta terapi yang disesuaikan dengan profil genetik individu,” ujarnya semasa ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Shuhaila, bioinformatik juga memainkan peranan dalam farmakogenomik serta pengembangan ubat yang lebih tepat dan berkesan berdasarkan variasi genetik individu.

“Dalam penemuan dadah, bioinformatik digunakan untuk mengidentifikasi sasaran dadah berpotensi dan meramalkan keberkesanan serta keselamatan calon molekul.

“Pengawasan penyakit berjangkit juga didorong oleh bioinformatik dengan menganalisis data genomik patogen untuk menjejaki penyebaran dan memahami dinamika transmisi penyakit.

"Melalui analisis data genomik peringkat populasi pula, bioinformatik membantu dalam memahami faktor genetik yang mempengaruhi kesihatan masyarakat secara keseluruhan dan pembangunan strategi pencegahan penyakit yang lebih efektif," katanya lagi.

Shuhaila turut menjelaskan bahawa dalam menangani cabaran dan peluang di masa depan, bioinformatik berhadapan tugas mengelola dan menganalisis data besar di samping memastikan privasi dan keselamatan data.

“Trend terkini dalam bioinformatik ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk analisis data biologi, mendapatkan perkembangan teknologi pengurutan genom yang lebih cepat dan murah serta integrasi data kesihatan digital untuk menyediakan perawatan yang lebih padu.

“Dengan adanya teknologi ini, bioinformatik terus memainkan peranan penting dalam memajukan bidang kesihatan dengan memanfaatkan data biologi besar untuk meningkatkan pemahaman, diagnosis dan rawatan penyakit," jelasnya.

Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 116