Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

PENYAKIT HATI – PEMBUNUH SENYAP YANG DILEPAS PANDANG

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Mei 2024 - Hati adalah organ tubuh yang bertanggungjawab dalam menjalankan pelbagai fungsi penting seperti memproses nutrien, menapis dan membuang toksin serta menghasilkan bahan kimia yang penting untuk penghadaman dan juga proses metabolisma tubuh.

Walau bagaimanapun, jika terdapat sebarang gangguan atau kerosakan pada hati, ia boleh membawa kepada penyakit hati dan jaundis

IMG 20240519 WA0007

Menurut Pakar Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Karyatee Kassim, hati memainkan peranan penting kerana ia adalah salah satu organ utama yang mengawal fungsi dalam badan manusia.

“Disebabkan itu, adalah penting untuk kita memastikan hati kita sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesihatan fungsi hati, kita perlu melakukan ujian fungsi hati (liver function test).

“Di Malaysia kebanyakan kerosakan hati berpunca daripada beberapa faktor iaitu jangkitan virus seperti hepatitis, penggunaan alkohol berlebihan, pengambilan ubatan atau suplemen, penyakit autoimun dan masalah genetik,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Nur Karyatee berkata, jaundis adalah salah satu gejala penyakit hati di mana kulit, mata dan tisu lain dalam tubuh badan kita bertukar menjadi kuning akibat peningkatan kadar serum bilirubin dalam darah.

“Bilirubin adalah produk buangan yang terkumpul dalam darah disebabkan oleh beberapa faktor seperti penyakit hati dan masalah di bahagian hempedu yang menyekat aliran keluar bilirubin serta menyebabkan serum bilirubin terkumpul dalam darah yang mengakibatkan badan menjadi kuning (jaundis),” jelasnya lagi.

Tambah Nur Karyatee, penyakit hati yang paling membimbangkan ialah kanser hati.

“Mengikut ‘National Cancer Registry’ pada tahun 2020, jumlah kes kanser hati yang dilaporkan di Malaysia ialah 2,149 menjadikannya antara lima (5) teratas dalam senarai kanser selain daripada kanser payudara, kanser usus, kanser paru-paru dan kanser nasofarinks.

“Ia juga boleh dianggap seperti pembunuh senyap kerana ia selalunya hanya dikesan ketika sudah berada pada tahap empat (4) dan sukar untuk dirawat.

“Di Malaysia, penyebab utama kanser hati ialah jangkitan kronik hepatitis B dan C manakala penyebab kedua terbesar ialah penyakit hati berlemak,” terangnya.

Beliau berkata, kaedah utama dalam mengesan penyakit hati dan jaundis ialah melalui ujian darah iaitu ujian fungsi hati (liver function test).

“Ujian ini mempunyai beberapa komponen antaranya ialah ALT (alanine aminotransferase) dan AST (aspartate aminotransferase) di mana bacaan yang tidak berada dalam julat normal boleh menunjukkan kerosakan pada sel-sel hati.

“Selain itu, pengukuran kadar bilirubin dalam darah juga penting untuk menilai tahap jaundis dan menentukan fungsi saluran hati serta hempedu.“Jika keputusan masih meragukan, pesakit boleh melakukan ujian lanjut untuk melihat kesihatan hati secara keseluruhan,” ujarnya.

Nur Karyatee turut menasihatkan orang ramai agar lebih cakna dalam memilih suplemen terutamanya yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengawal pengambilan akar kayu serta herba.

“Orang ramai disaran untuk membuat pemeriksaan darah secara berkala dan amalkan pemakanan serta gaya hidup yang sihat.

“Orang ramai juga digalakkan mengambil vaksin bagi mengelak jangkitan Hepatitis B untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit hati,” jelasnya lanjut.

Teks: Wan Nor Azlin Wan Azlan / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 20