Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

PENGURUSAN KLINIKAL YANG SELAMAT BANTU LINDUNGI PESAKIT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Ogos 2024 – “Pengurusan klinikal yang selamat merujuk kepada bagaimana organisasi kesihatan melindungi pesakit daripada kesilapan, kecederaan, kemalangan dan jangkitan yang boleh dicegah sepanjang mendapat rawatan di hospital. Amalan keselamatan pesakit yang berkesan boleh meningkatkan hasil akhir pesakit dan pada masa yang sama mengurangkan kos rawatan,” demikian ungkapan yang ditekankan oleh Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman.

IMG 20240812 WA0004

Menurut beliau, amalan tersebut akan menjadi motivasi kepada semua staf untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dalam memastikan penjagaan keselamatan pesakit memenuhi prosedur yang ditetapkan.

“Penjagaan kesihatan yang selamat bukanlah satu pilihan, tetapi merupakan kewajipan kita semua. Setiap kesilapan yang berlaku, setiap kejadian buruk yang menimpa pesakit adalah satu peringatan yang jelas bahawa kita perlu terus berusaha untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam amalan kita.

IMG 20240812 WA0001

“Budaya keselamatan pesakit adalah apabila semua pengamal perubatan komited menjadikan keselamatan pesakit sebagai keutamaan dalam perawatan serta menyedari bahawa keselamatan pesakit bukan hanya tentang mengelakkan kesilapan tetapi ia adalah tentang mewujudkan budaya di mana keselamatan tertanam dalam setiap aspek kerja kita.

“Ia juga tentang memupuk persekitaran yang bebas daripada kesalahan di mana kita boleh belajar daripada kesilapan tanpa rasa takut akan pembalasan selain memperkasakan setiap profesional penjagaan kesihatan untuk bersuara apabila mereka melihat sesuatu yang berpotensi membahayakan pesakit,” katanya ketika berucapan dalam majlis ‘Town Hall’: Pemantapan Pengurusan Klinikal yang Selamat di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, semalam.

IMG 20240812 WA0002

Nik Hisamuddin berkata, pengurusan klinikal yang selamat memerlukan usaha kolektif daripada semua pihak.

“Ia memerlukan komitmen pihak pengurusan, ketua-ketua jabatan, penyelaras, penyelia dan semua staf untuk berkomunikasi secara terbuka, pelaporan insiden yang telus dan usaha penambahbaikan tanpa henti.

“Penjagaan kesihatan boleh diumpamakan seperti satu pasukan bola. Komunikasi antara pasukan hendaklah cepat, efektif, sentiasa berkolaborasi, bertoleransi antara disiplin dan saling menghormati adalah penting untuk mencegah kesilapan.

IMG 20240812 WA0005

“Kita mesti memecahkan silo dan memupuk budaya tanggungjawab bersama selain menjadikan pesakit sebagai rakan kongsi dalam penjagaan kesihatan mereka serta melibatkan mereka dalam membuat keputusan, mendengar kebimbangan, memperkasa serta menjadikan mereka ahli yang aktif dalam memastikan keselamatan dalam perawatan terhadap mereka,” ujarnya lagi.

Tambah Nik Hisamuddin, penjagaan klinikal yang selamat bukanlah destinasi dan ia adalah satu perjalanan yang memerlukan kewaspadaan berterusan, komitmen yang tidak berbelah bahagi dan kebijaksanaan kolektif semua pihak.

“Semua pihak harus berganding bahu dan bekerjasama dalam mencipta sistem penjagaan kesihatan di mana setiap pesakit boleh mempercayai bahawa mereka akan menerima kualiti penjagaan yang terbaik di Hospital USM,” jelasnya

IMG 20240812 WA0003

Nik Hisamuddin turut menyeru semua staf agar lebih komited kepada prinsip keselamatan pesakit dan berusaha untuk membuat perubahan yang lebih baik dalam kehidupan mereka.

Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah Pelancaran Buku Singkatan Terminologi Perubatan Lazim ‘Common Medical Terminilogy Abbreviations’, Unit Rekod Perubatan, Hospital USM. Buku ini bertujuan membantu pihak yang terlibat mentafsir terminologi perubatan yang sering digunakan semasa pengurusan kes dan boleh dijadikan rujukan pegawai-pegawai perubatan agar kualiti dokumentasi dapat dipertingkatkan.

Ini penting bagi memastikan istilah yang digunakan adalah betul dan tepat kerana selain daripada situasi pengurusan kes, penggunaan istilah yang tepat juga dapat membantu agar diagnosis serta prosedur yang betul direkodkan

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset, Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pendaftar Kanan Hospital USM, Mohd Saberi Mohd Yusoff dan ketua-ketua jabatan serta unit Hospital USM.

Teks: Marlina Zahari / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 11