PENDEDAHAN PERSEDIAAN HADAPI BENCANA SEAWAL SEKOLAH RENDAH INISIATIF KAMPUS KESIHATAN USM DAN BBNGO
RANTAU PANJANG, KELANTAN, 22 Ogos 2024 – Bagi mempersiapkan pelajar dalam menghadapi situasi bencana, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) turun padang mengadakan Program Latihan Siapsiaga Bencana Peringkat Sekolah di Sekolah Kebangsaan Gual Periok, hari ini.
Program yang mensasarkan pelajar tahun lima (5) dan enam (6) sebagai peserta utama ini bertujuan memberi latihan awal yang melibatkan persiapan sebelum, semasa dan selepas bencana bagi mengurangkan risiko yang tidak dijangka berlaku.
Program yang disertai seramai 60 pelajar dan 33 orang guru itu dimulakan dengan pendedahan melalui sesi ceramah tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil ketika berhadapan dengan bencana kemudiannya disusuli dengan latihan praktikal bagi memberi peluang kepada para pelajar memahami dan mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam situasi sebenar.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja meningkatkan tahap kesedaran tentang pentingnya siapsiaga bencana dalam kalangan pelajar dan guru, tetapi juga memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, organisasi bukan kerajaan dan sektor korporat dalam usaha memelihara keselamatan masyarakat.
Hadir merasmikan majlis penutup program tersebut ialah Ketua Jabatan, Jabatan Kecemasan, Hospital USM, Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab. Turut hadir ialah Pensyarah Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) merangkap Bendahari BBNGO, Profesor Madya Dr. Mohd Rizal Mohd Zain dan Pengurus Pembangunan Komunikasi Yayasan Telekom Malaysia, Azizul Salfaizal Aziz.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 11