PEMERKASAAN GURU PPKI: PEMINDAHAN ILMU DAN KEPAKARAN HPUSM KEPADA WARGA PENDIDIK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 November 2024 - Dalam usaha membantu dan melatih guru-guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi melaksanakan terapi cara kerja yang berstruktur untuk meningkatkan kemahiran murid berkeperluan khas, satu Program Mobile Komuniti: Pemerkasaan Guru PPKI diadakan di Auditorium Jabatan Perubatan Kecemasan pada 18 November lalu.
Program yang disertai oleh 72 orang guru PPKI ini dianjurkan oleh Bahagian Cara Kerja, Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dengan kerjasama Unit Perubatan Pemulihan PPSP dan Persatuan Perubatan Rehabilitasi Kelantan.
Program ini bertujuan membimbing dan melatih guru-guru PPKI dalarn melaksanakan aktiviti terapi cara kerja yang berstruktur agar dapat membantu murid yang mempunyai masalah fizikal dan kognitif selain meningkatkan keyakinan diri murid melalui aktiviti yang dijalankan di bilik multisensori dan snoozelen.
Para guru turut didedahkan dengan kemahiran bagi mengenal punca masalah tingkahlaku seperti tantrum, mengenal pasti punca masalah tulisan tangan dan berkongsi idea untuk aktiviti yang boleh menggalakkan perkembangan integrasi sensori seawal yang boleh di peringkat sekolah lagi.
Selain itu, mereka juga didedahkan dengan teknik restrain untuk pesakit, teknik rangsangan sensori integrasi dan peralatan cadangan dalam permainan sensori untuk mengggalakkan perkembangan pelajar serta mengurangkan masalah tingkah laku dalam kalangan pelajar PPKI.
Sumber Laporan & Foto: Fadzli Sajeli
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 23