Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

PEMBEDAHAN BARIATRIK BUKAN SEKADAR UNTUK KURUS DAN LANGSING

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 April 2024 – Pembedahan bariatrik ialah pembedahan yang membantu seseorang menurunkan berat badan dengan membuat perubahan kepada sistem pencernaan sama ada mengecilkan perut ataupun memintas sebahagian daripada usus kecil selain membantu mengawal masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Individu yang mengalami masalah kegemukan atau ‘morbid obesity’ dengan indeks jisim badan (body mass index - BMI) melebihi 35 atau BMI melebihi 30 dan mempunyai penyakit metabolik seperti darah tinggi, kencing manis (diabetes), tinggi kolestrol adalah layak untuk menjalani pembedahan bariatrik.

Selain itu, golongan lain yang turut layak menjalani pembedahan bariatrik ialah individu yang mengalami masalah gangguan tidur dikenali sebagai ‘obstructive sleep apnea’ (OSA) disebabkan oleh obesiti, masalah infertiliti disebabkan oleh sindrom ovari polisistik (PCOS), sakit lutut disebabkan berat badan berlebihan dan individu yang mengalami obesiti serta telah mencuba pelbagai kaedah penurunan berat badan seperti diet, senaman, memakan ubat-ubatan namun masih gagal mendapat berat badan ideal.

IMG 20240429 WA0009

Menurut Pakar Bedah Bariatrik dan Metabolik, Unit Bariatrik dan Metabolik Surgeri, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Nizam Md Hashim, masih ramai tidak mengetahui secara terperinci mengenai pembedahan bariatrik atau 'pemotongan usus' dan memandang serong terhadap individu yang melakukan pembedahan ini.

“Pembedahan bariatrik merupakan salah satu cara untuk mengatasi masalah kegemukan selain rawatan biasa seperti berdiet yang memerlukan dedikasi tinggi dan penggunaan ubat yang akan mengundang kesan sampingan dalam jangka masa panjang.

"Pembedahan ini akan menyebabkan pesakit makan dengan kuantiti yang sedikit disebabkan saiz perut berkurangan dan mereka akan cepat berasa kenyang," katanya ketika ditemu bual.

IMG 20240429 WA0011

Mohd Nizam berkata, walaupun pembedahan bariatrik seringkali dikaitkan sebagai pembedahan kosmetik, ia bukan sahaja membantu mengurangkan berat badan, malah ia juga membantu meningkatkan kualiti hidup dan pemulihan kesihatan kerana obesiti.

“Selain itu, pembedahan bariatrik juga dapat membantu menyembuhkan penyakit sampingan lain dan dalam jangka masa tertentu, pesakit yang mengidap kencing manis serta darah tinggi akan mendapat manfaat seperti sembuh sepenuhnya atau berkurangan dari segi kadar pengambilan ubat semasa.

“Ia juga dapat mengatasi masalah berdengkur, malah masalah ini dapat dihilangkan terus selepas dua (2) minggu pembedahan dilakukan," ujarnya lagi.

Tambah Mohd Nizam, terdapat beberapa jenis pembedahan bariatrik yang biasa dilakukan seperti ‘laparoscopic sleeve gastrectomy’, ‘gastric bypass’, mini ‘gastric bypass’, ‘sleeve plus’ dan lain-lain.

“Jenis pembedahan yang sesuai akan ditentukan oleh doktor bedah selepas melakukan perbincangan dengan pesakit dan mengambil kira tahap kesihatan pesakit serta target pengurangan berat badan yang diperlukan.

“Saiz perut yang lebih kecil juga akan memberi tindak balas hormon pada badan untuk mengurangkan rasa lapar.

“Pengurangan kuantiti pemakanan dan pengurangan rasa lapar akan membuatkan pesakit bariatrik berada dalam defisit kalori,” jelasnya.

IMG 20240429 WA0012

Beliau berkata, pembedahan bariatrik yang sering dilakukan di Hospital USM ialah jenis ‘laparoscopic sleeve gastrectomy’.

“Pembedahan ini sering menjadi pilihan disebabkan komplikasi yang rendah berbanding pembedahan secara terbuka dan luka yang sedikit serta proses penyembuhannya mengambil masa yang cepat.

“Pesakit juga biasanya dibenarkan keluar wad dan pulang selepas beberapa hari pembedahan dijalankan dan boleh mula melakukan rutin harian seperti biasa termasuk bekerja selepas dua (2) minggu berehat akibat pembedahan,” ulasnya lanjut.

Menurut Mohd Nizam, sejak pembedahan bariatrik ditawarkan di Hospital USM bermula tahun 2016, lebih 145 pesakit telah menjalani pembedahan sehingga kini.

“Masih ramai lagi pesakit yang sedang menunggu giliran untuk melakukan pembedahan dan kami menerima sambutan yang amat menggalakkan selepas kebanyakan pesakit menyebarkan keistimewaan serta kebaikan pembedahan yang ditawarkan ini.

“Hospital USM juga merupakan satu-satunya hospital yang menawarkan perkhidmatan ini di negeri Kelantan dan Terengganu,” katanya.

IMG 20240429 WA0010

Mohd Nizam turut menjelaskan bahawa prosedur untuk menjalani pembedahan bariatrik biasanya bermula apabila pesakit membawa surat yang dirujuk oleh Klinik Kesihatan atau mana-mana klinik ke Klinik Bariatrik yang beroperasi pada setiap hari Ahad di Klinik Surgeri (SOPD) untuk mendapatkan janji temu bersama pakar.

“Bermula dari situ, pakar akan mengadakan perbincangan dan kaunseling bersama pesakit serta mengikut proses lain yang telah ditetapkan.

“Pembedahan bariatrik ini biasanya menelan kos kira-kira RM7,200 bagi pembedahan ‘laparoscopic sleeve gastrectomy’ dan RM8,500 bagi pembedahan ‘gastric bypass’. Namun, sekiranya pesakit mempunyai surat jaminan (Guarantee Letter- GL), mereka boleh menggunakan GL untuk menanggung kos pembedahan ini,” jelasnya.

Mohd Nizam turut mengesyorkan kepada individu yang berminat untuk melakukan pembedahan bariatrik, sila dapatkan janji temu bersama pakar untuk sesi kaunseling secara menyeluruh dari segi faedah, jenis pembedahan, komplikasi, kebaikan dan kos yang perlu ditanggung.

“Segala persoalan boleh diajukan semasa sesi kaunseling bagi menjawab segala kegusaran yang dialami oleh pesakit,” katanya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 61