Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

PEMAKANAN YANG SIHAT BANTU PENGHASILAN SEL STEM DALAM BADAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Mac 2024 – Terdapat lebih 200 jenis sel di dalam badan manusia dan sel tunjang atau lebih dikenali sebagai sel stem (stem cell) merupakan sel asas di dalam badan manusia yang mempunyai keupayaan untuk berubah menjadi sel-sel jenis lain.

Berdasarkan keupayaannya berubah menjadi sel-sel jenis lain yang mana sel-sel tersebut akan bergabung membentuk tisu atau organ baharu, para saintis telah membuat hipotesis bahawa sel stem berkebolehan untuk menggantikan atau memperbaharui tisu dan organ manusia terutamanya dalam bidang rawatan regeneratif iaitu rawatan penumbuhan atau penggantian semula tisu badan.

6ea3bda7 bc77 46e8 8ce1 94dcbbec264e

Pensyarah, Unit Sains Asas, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Ts. Dr. Azlina Ahmad berkata, sel stem boleh diambil daripada embrio iaitu telur manusia yang telah disenyawakan di dalam makmal yang dikenali sebagai sel stem embrionik dan merupakan sel stem terbaik kerana keupayaannya untuk berubah menjadi sel jenis lain yang tidak terbatas.

“Terdapat juga sel stem lain yang diambil daripada tisu manusia seperti darah, gigi, hujung rambut dan banyak lagi yang mempunyai keupayaan berubah yang terhad,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Menurut Azlina, terdapat pelbagai jenis produk kesihatan yang berasaskan sel stem terdapat di pasaran Malaysia yang cuba mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan ke atas potensi dan kelebihan sel stem.

“Orang ramai perlu berhati-hati dalam memilih produk kesihatan yang berasaskan sel stem.

“Hari ini, saya ingin memberi pendedahan kepada masyarakat supaya lebih peka mengenai mitos dan fakta berkenaan sel stem,” terangnya.

Azlina berkata, kebanyakan pusat rawatan di Malaysia menggunakan terapi sel stem untuk merawat penyakit kanser darah seperti leukemia dan limfoma.

“Ia digunakan untuk menggantikan sel yang rosak dan menghasilkan sel baru dalam badan dan boleh menyembuhkan pesakit.

“Sampel darah pesakit atau penderma yang sesuai akan diambil dan diproses untuk mendapatkan sel stem dan dimasukkan semula ke badan pesakit bagi menggantikan sel darah yang rosak akibat kanser.

“Walau bagaimanapun, ada kemungkinan sel stem yang diambil daripada pesakit sendiri tidak berfungsi kerana sel tersebut telah rosak dan bagi mereka yang mendapatkan sel stem daripada penderma, ia mungkin berlaku penolakan terhadap sel stem tersebut oleh badan penerima,” jelasnya berkaitan jenis terapi sel stem haematopoietik.

Tambah Azlina, sel stem mula dikenali secara meluas pada awal tahun 2000 dan banyak kajian dilakukan untuk tujuan perawatan penyakit-penyakit kronik.

“Para saintis berasa bimbang kerana mendapati terdapat kemungkinan kesan sampingan bagi rawatan sel stem iaitu penghasilan tisu atau sel yang tidak dapat dikawal seperti penghasilan tisu kanser.

“Buat masa ini, ia masih di peringkat kajian klinikal kerana terdapat kekangan untuk para saintis menjalankan kajian ke atas manusia yang sihat demi mematuhi prosedur etika manusia,” ujarnya.

Jelas Azlina, ramai yang tidak tahu bahawa sel stem yang memberi kebaikan pada badan adalah sel stem yang dihasilkan oleh tubuh kita sendiri, bukannya yang diminum daripada produk tertentu.

“Adalah penting untuk kita menjaga kesihatan dengan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat kerana badan yang sihat akan menghasilkan sel stem baik yang banyak.

“Semuanya bermula daripada penjagaan kesihatan individu itu sendiri dan adalah penting untuk kita menjaga sel stem yang sedia ada dalam badan,” terangnya lagi.

Menurut Azlina, orang ramai perlu hati-hati memilih makanan tambahan atau suplemen walaupun ada yang mendakwa suplemen tersebut berasaskan sel stem buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan.

“Mengikut perubatan, kebanyakan produk yang mampu memberikan kesan baik dengan cepat selalunya mengandungi steroid yang tersembunyi di sebalik khasiat bahan lain.

“Pengambilan suplemen seperti ini akan menambahkan lagi masalah kesihatan pada masa hadapan,” jelasnya lanjut.

Azlina turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan produk berasaskan sel stem sebaliknya fokus kepada penjagaan pemakanan dengan baik kerana ia dapat membuatkan badan kita menghasilkan sel stem yang baik secara semulajadi.

“Faedahnya, ia akan menggantikan sel yang rosak dengan cepat dan badan akan bertambah sihat,” katanya

Teks: Wan Nor Azlin Wan Azlan / Reka Grafik: Mohd Rody Mohd Amin

 

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 69