Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

PEMAKANAN SIHAT PENYUMBANG PRODUKTIVITI WARGA HOSPITAL USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 September 2023 – “Masyarakat kita termasuk warga Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dibebani pelbagai penyakit tidak berjangkit atau ‘non-communicable diseases’ (NCD) contohnya penyakit diabetes, penyakit jantung koronari dan kanser akibat pemakanan tidak sihat,” demikian ujar Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman.

f67233d9 edf2 435e 8a5f e54b0e79045b

Menurut beliau, pengambilan makanan tinggi lemak, gula, garam, kurang serat serta gaya hidup sedentari (kurang aktiviti fizikal) merupakan antara faktor penyumbang kepada permasalahan tersebut.

“Warga Hospital USM perlu mengubah pemikiran masing-masing daripada hanya mendapatkan rawatan apabila sakit kepada mengamal dan mempromosikan penjagaan kesihatan serta mencegah amalan gaya hidup yang tidak sihat ‘Promoting Wellness and Preventive Lifestyles’.

37c92dbb bc9c 43b2 a0e6 b5c0bf155fe4

“Amalan pemakanan sihat adalah sangat penting untuk mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan semua peringkat kitaran kehidupan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Bersama Pengarah Hospital USM dengan tema ‘Pemakanan Sihat: Sejahtera Sepanjang Hayat’ yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

Tambah Nik Hisamuddin, negara juga kini berdepan dengan beban berganda akibat malnutrisi yang merangkumi masalah kurang zat makanan dan berlebihan makan (lebih berat badan dan obesiti) serta peningkatan kos akibat penjagaan kesihatan berkaitan NCD.

c45104cf a84d 4660 bd3b 0c6660a36240

“Penyakit-penyakit tidak berjangkit ini menyebabkan beban kewangan kepada individu dan keluarga, kualiti hidup yang rendah, menjejaskan produktiviti dan peningkatan beban kewangan kepada negara.

“Pemakanan sihat sangat mudah diamalkan iaitu dengan mengambil pelbagai jenis makanan mengikut kumpulan makanan yang disarankan berpandukan Piramid Makanan Malaysia 2020, mengekalkan keseimbangan dengan makan secara suku-suku separuh berpandukan Pinggan Sihat Malaysia, makan mengikut jadual dan tidak terlepas tiga (3) sajian utama, menggunakan kaedah memasak yang lebih sihat dan mengawal saiz hidangan,” ujarnya lagi.

3793d453 75a4 4465 a858 ef7d33bc4be9

Nik Hisamuddin berkata, staf USM sangat bertuah kerana terdapat pelbagai aktiviti yang diadakan sama ada di dalam atau luar kampus bagi memberi kesedaran dan menggalakkan warganya mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Tanggungjawab menjaga kesihatan adalah tanggungjawab setiap individu dan ianya memerlukan usaha secara bersepadu daripada semua pihak bagi mewujudkan generasi yang sihat.

85b6e0bd ab97 4361 b408 2dffa3c0eeb3

“Staf USM yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan dengan pengawalan pemakanan, Pegawai Perubatan yang merawat staf tersebut boleh membuat rujukan kes kepada Pegawai Dietetik di Klinik Dietetik bagi mendapatkan konsultasi diet.

“Sekiranya terdapat kekangan masa untuk sesi susulan, mereka juga boleh menggunakan perkhidmatan Klinik Dietetik secara maya,” jelasnya.

9cbce0dc 45ad 4fd4 bf47 73ed0b03e33e

Sementara itu, dalam majlis yang sama turut berlangsung Pelancaran Klinik Dietetik Secara Maya yang diwujudkan sebagai pelengkap kepada perkhidmatan Klinik Dietetik sedia ada.

Klinik Dietetik secara maya diperkenalkan bagi memudahkan pelanggan menerima perkhidmatan terapi pemakanan selain memberi kemudahan kepada pesakit dari segi penjimatan masa, kos dan tenaga. Di samping itu, ia juga memacu Transformasi Digital Sektor Awam dalam meningkatkan penerimagunaan teknologi digital dan penggunaan peralatan digital bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti.

fa492f6e 4028 402b 9b34 54ae7eb35965

Turut hadir ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Mohd Saberi Mohd Yusof; Ketua Unit, Unit Pemakanan dan Dietetik, Wan Rimei Salha Wan Abdul Rani serta ketua-ketua jabatan dan unit Hospital USM.

Teks: Marlina Zahari & Awanis Adlin Azmi (Pelajar Latihan Industri UNIMAP) / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 161