Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

PAKAI KAKI PALSU BUKAN KEKURANGAN BAHKAN PENYAMBUNG SEMANGAT KEHIDUPAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Mei 2024 – Antara perkara yang paling merunsingkan hati mereka yang kehilangan kaki akibat penyakit atau kemalangan ialah untuk kembali berjalan dan berdikari serta mengetahui cara untuk mendapatkan bantuan kaki palsu.

IMG 20240530 WA0026

Seiring kemajuan pesat dunia perubatan dan teknologi, kini kaki palsu atau prostesis dicipta bagi menggantikan fungsi asal bahagian tubuh yang hilang sama ada disebabkan kemalangan, penyakit atau kecacatan sejak dilahirkan.

Namun, penggunaan prostesis tidak berkualiti atau sesuai boleh menyebabkan pemakai berasa sakit, tidak selesa dan hilang keyakinan untuk berhadapan dengan masyarakat.

IMG 20240530 WA0022

Menurut pensyarah serta Pakar Perubatan Pemulihan dan Rehabilitasi yang juga Penyelaras Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Al Hafiz Ibrahim, Hospital USM telah menawarkan perkhidmatan pembuatan anggota palsu sejak tahun 1985 di bawah kendalian Bahagian Prostetik dan Ortotik, Unit Perubatan Pemulihan.

“Prostetik adalah alat yang dibekalkan kepada pesakit yang mengalami masalah kehilangan anggota badan manakala ortotik pula ialah alat sokongan untuk membantu anggota badan yang lemah sama ada anggota atas atau anggota bawah.

IMG 20240530 WA0020

“Masih ramai pesakit atau masyarakat di luar sana yang tidak mengetahui cara untuk mendapatkan khidmat pembuatan anggota palsu di Hospital USM. Kebanyakan pesakit yang kami terima adalah pesakit rujukan daripada klinik-klinik di Hospital USM dalam pelbagai bidang perubatan seperti Ortopedik, Neurologi, Pediatrik dan sebagainya yang dirujuk ke Klinik Perubatan Pemulihan untuk pembekalan alatan seperti prostetik dan ortotik,” katanya ketika di temu bual.

Al Hafiz berkata, orang ramai yang bukan pesakit Hospital USM juga boleh mendapatkan khidmat ini, namun mereka perlu mendapatkan surat rujukan daripada doktor yang merawat mereka sebelum ini dan membawanya ke Klinik Perubatan Pemulihan untuk mendapatkan janji temu dan konsultasi bersama pakar.

IMG 20240530 WA0021

“Pesakit biasanya akan dinilai terlebih dahulu oleh pakar melibatkan penilaian medikal dan fizikal bagi menentukan alatan yang sesuai untuk pesakit.

”Pesakit yang belum sesuai untuk menggunakan kaki palsu akan dirujuk untuk sesi fisioterapi dan cara kerja bagi mengoptimumkan fungsi fizikal sebagai persediaan sebelum memakai kaki palsu.

IMG 20240530 WA0023

“Penilaian juga dibuat berdasarkan kemampuan kewangan pesakit untuk membiayai anggota palsu (prostesis atau ortosis) tersebut bagi mengembalikan semula imej dan keyakinan diri untuk kelangsungan hidup mereka,” ujarnya lagi.

Tambah Al Hafiz, Hospital USM merupakan satu-satunya hospital kerajaan di Kelantan yang menawarkan perkhidmatan pembuatan anggota palsu dan kos yang dikenakan kepada pesakit adalah sangat berpatutan serta lebih murah berbanding harga pasaran.

IMG 20240530 WA0024

“Hospital USM mempunyai ramai juruteknik perubatan yang berpengalaman dan bertanggungjawab melaksanakan tugas mereka bermula daripada membuat penilaian ke atas pesakit, merekod maklumat, mengukur untuk penyediaan acuan, menilai semula keadaan pesakit berdasarkan acuan yang dibuat, membuat pengubahsuaian bergantung kepada saiz pemakai, menghasilkan prostesis akhir sehingga kepada proses mencuba oleh pemakai dan semua proses ini dijalankan serta dihasilkan sendiri di Hospital USM.

“Proses menghasilkan prostesis atau ortosis biasanya mengambil masa antara seminggu hingga tiga (3) bulan bergantung kepada anggota badan kerana ketelitian amat diperlukan agar anggota atau kaki palsu yang dihasilkan menepati saiz, tidak mengakibatkan kesakitan dan komplikasi serta memberi keselesaan kepada pemakai,” jelasnya.

IMG 20240530 WA0025

Beliau berkata, setiap pesakit yang dirujuk ke Klinik Perubatan Pemulihan dianggap sebagai pembawa rezeki untuk para perawat dan juruteknik perubatan mempelajari kes baharu dan menghasilkan prostesis yang lebih baik.

“Istimewanya mendapatkan perkhidmatan prostetik dan ortotik di Hospital USM ialah ia melibatkan kerjasama berpasukan iaitu bahagian prostetik, doktor pakar rehabilitasi, jururawat rehabilitasi, juruterapi anggota dan carakerja serta banyak lagi.

“Tidak hanya membekalkan anggota palsu, tetapi kami juga memberi sokongan dan rawatan kepada pesakit selepas pembekalan.

IMG 20240530 WA0029

“Sebagai contoh, apabila kaki palsu dibekalkan kepada pesakit, kami akan memberi rawatan atau latihan khas agar pesakit dapat menggunakan kaki palsu tersebut dengan sebaiknya kerana memakai kaki palsu ini tidak semudah memakai kasut dan ia memerlukan latihan intensif bagi memastikan alatan itu bermanfaat kepada pesakit,” ulasnya lanjut.

Al Hafiz berkata, bagi mereka yang mengalami masalah kehilangan anggota badan seperti amputasi atau kudung kaki, usah berputus harap kerana mereka masih boleh berjalan dengan penilaian daripada pakar perubatan pemulihan dan pemakaian alat yang disediakan.

“Dengan latihan yang intensif dan optimum, pesakit pastinya boleh berjalan kembali seperti dahulu dan meneruskan aktiviti-aktiviti seperti biasa.

“Pasukan Perubatan Pemulihan juga kini sedang meneroka teknologi tiga dimensi (3D printing) dalam pembuatan kaki palsu ataupun ortosis dan ini adalah satu cabang yang kami cuba juarai demi memberi perkhidmatan yang terkini dan terbaik kepada pesakit,” ujarnya.

Selain itu, menurut Al Hafiz, berdasarkan statistik di Kelantan, masalah kencing manis (diabetes) amat meruncing dan komplikasi yang melibatkan kaki atau ‘diabetic foot problem’ agak tinggi sehingga pihaknya mengambil inisiatif membantu membekalkan alat-alat untuk mencegah terjadinya masalah komplikasi kaki seperti kasut dan alas kasut (insole) khas bagi pesakit-pesakit diabetes untuk mengelak amputasi yang lebih teruk.

Al Hafiz turut berpesan kepada mereka yang mengalami masalah amputasi atau kehilangan anggota badan agar tidak terburu-buru mendapatkan anggota palsu kerana ia memerlukan penilaian daripada pakar untuk menilai sama ada bersesuaian atau tidak untuk mereka memakai anggota palsu.

“Jangan mengambil mudah dengan membeli secara dalam talian atau menerusi mana-mana pembekal kerana tanpa penilaian daripada pakar ia mungkin tidak bersesuian dengan keadaan fizikal anda,” jelasnya lagi.

IMG 20240530 WA0027

Sementara itu, Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman turut berharap agar lebih ramai masyarakat di luar sana menguar-uarkan tentang perkhidmatan pembuatan anggota palsu ini bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Saya percaya masih ramai yang memilih memendam masalah atau tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan anggota palsu.

IMG 20240530 WA0028

"Kunjungilah Klinik Perubatan Pemulihan Hospital USM kerana kami pasti akan membantu mencari solusi untuk menyelesaikan masalah anda," katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 17