NIK HISAMUDDIN TERIMA ANUGERAH SANGGAR SANJUNG USM KATEGORI KETOKOHAN (ANTARABANGSA)
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 November 2024 - Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman dinobat sebagai penerima utama Anugerah Sanggar Sanjung 2023 bagi kategori Ketokohan (Antarabangsa) dalam Majlis Anugerah Sanggar Sanjung (MASS) Universiti Sains Malaysia (USM) pada 18 November lalu.
Beliau yang juga Pakar Perubatan Kecemasan di Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM diperakukan Anugerah Ketokohan atas pencapaian memperoleh 'Fellowship The Royal College of Physician' FRCP (Glasg.) daripada The Royal College of Physicians and Surgeons Glasgow, United Kingdom pada Disember 2023. Selain sijil, Nik Hisamuddin turut membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000.
MASS merupakan platform tertinggi di USM bagi mengiktiraf pencapaian serta kejayaan warga kerja dalam pelbagai aspek termasuk ketokohan, penerbitan jurnal, penerbitan buku, pengkomersilan produk penyelidikan, paten, kreativiti serta geran penyelidikan antarabangsa dan geran penyelidikan industri.
MASS yang diadakan di SPICE Arena, Pulau Pinang dimeriahkan dengan kehadiran Canselor USM, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail; Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah AlMarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, barisan pengurusan tertinggi USM dan ketua-ketua jabatan bagi meraikan para penerima MASS sekaligus keraian pencapaian USM secara keseluruhannya.
Teks: Amyrulhan Azhari / Foto: Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia USM
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 21