Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

MPOX: KENALI SIMPTOM DAN CARA JANGKITAN ELAK CETUS PANIK ORANG AWAM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Ogos 2022 – Mpox yang dahulunya dikenali sebagai ‘monkeypox’ atau cacar monyet merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus ‘monkeypox’ (MPXV) daripada keluarga ‘orthopox’ adalah penyakit endemik di rantau Afrika Tengah dan Barat dan telah merebak ke negara-negara di rantau lain.

Mpox telah diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern - PHEIC) buat kali pertama pada 23 Julai 2022. Terkini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization - WHO) telah mengisytiharkan Mpox sebagai PHEIC buat kali kedua pada 13 Ogos lalu ekoran pertambahan kes serta negara yang melaporkan jangkitan virus itu.

Berdasarkan laporan situasi Mpox yang dikeluarkan oleh WHO bertarikh 12 Ogos 2024, sepanjang 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2024 terdapat sebanyak 99,176 kes Mpox di seluruh dunia membabitkan 116 negara dengan 208 bersamaan 0.21 peratus (%) kematian.

Di Malaysia, jumlah keseluruhan Mpox yang disahkan di negara ini kekal sembilan (9) kes yang mana kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan terakhir ialah pada bulan November tahun yang sama serta kesemua kes telah sembuh dan tiada kematian dilaporkan.

WhatsApp Image 2024 08 28 at 9.15.01 AM

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Unit Kesihatan Awam (UKA), Jabatan Perubatan Masyarakat (JPM), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad, buat masa ini, kaedah jangkitan utama Mpox ialah daripada manusia ke manusia sama ada secara langsung (direct) atau tidak langsung (indirect).

“Secara langsung bermaksud penularan virus Mpox daripada individu ke individu boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan kulit yang dijangkiti seperti sentuhan kulit ke kulit, sentuhan kulit atau alat kelamin semasa hubungan seksual, mulut ke mulut (bercium) atau mulut ke kulit (termasuk seks oral) dan melalui titisan sekresi pernafasan atau aerosol jarak pendek secara berpanjangan atau semasa bersemuka (bercakap atau bernafas).

“Jangkitan secara tidak langsung (indirect) pula boleh menular melalui kontak dengan objek yang tercemar dengan cecair badan orang yang dijangkiti seperti tempat tidur, tuala atau pakaian.

“Oleh kerana Mpox adalah sejenis penyakit ‘zoonosis’, ianya juga boleh merebak daripada haiwan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah atau cecair badan haiwan yang dijangkiti,” katanya ketika ditemu bual.

WhatsApp Image 2024 08 28 at 9.14.59 AM

Tambah Wan Mohd Zahiruddin, selepas seseorang itu terdedah kepada virus Mpox, ia mungkin mengambil masa selama enam (6) hingga 13 hari (dalam julat lima (5) hingga 21 hari) tempoh inkubasi sebelum fasa gejala mula kelihatan.

“Fasa bergejala boleh dibahagikan kepada dua (2) iaitu Fasa 1 selama satu (1) hingga lima (5) hari pertama dengan gejala jangkitan virus seperti demam, sakit kepala, sakit belakang, sakit otot dan kelesuan serta bengkak kelenjar limfa.

“Manakala Fasa 2 pula ialah selepas satu (1) hingga tiga (3) hari demam dan muncul gejala ruam pada tangan, kaki, dada, muka, mulut atau kawasan alat kelamin. Ruam ini akan melalui beberapa peringkat iaitu pada mulanya boleh kelihatan seperti jerawat atau lepuh (berair) dan berakhir dengan kudis atau keruping (scabs) sebelum sembuh.

“Pesakit yang dijangkiti Mpox biasanya akan mengalami gejala selama dua (2) hingga empat (4) minggu,” jelasnya lagi.

WhatsApp Image 2024 08 28 at 9.15.00 AM 1

Selain itu, Wan Mohd Zahiruddin turut menjelaskan bahawa virus Mpox boleh disebarkan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum terjadinya ruam pada kulit sehingga 21 hari daripada bermulanya gejala atau sehingga keruping tertanggal daripada kulit dan pesakit tidak lagi bergejala.

Menurut beliau, secara umumnya, Mpox adalah kurang berbahaya dan lazimnya akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

“Jangkitan Mpox daripada jenis ‘clade I’ berpotensi untuk menyebabkan gejala yang lebih teruk dan kematian berbanding ‘clade II’.

“Kadar kematian di negara endemik Mpox juga rendah, dianggarkan antara tiga (3%) hingga enam (6%) sahaja.

“Walau bagaimanapun, kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap imuniti yang rendah, terdapat sejarah penyakit ekzema dan wanita mengandung lebih mudah mendapat jangkitan yang lebih teruk dengan kadar kematian yang lebih tinggi,” ujarnya.

WhatsApp Image 2024 08 28 at 9.15.00 AM 2

Wan Mohd Zahiruddin yang juga Ketua Jabatan, JPM, PPSP USM berkata, komplikasi yang teruk boleh berlaku sekiranya Mpox menjangkiti kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap imuniti rendah termasuk jangkitan bakteria yang teruk daripada keradangan kulit, kerosakan pada otak (ensefalitis), jantung (miokarditis) atau paru-paru (pneumonia), masalah mata dan juga kematian.

Ketika ditanya adakah Mpox berisiko menjadi wabak seperti COVID-19, Wan Mohd Zahiruddin berkata, pakar-pakar Kesihatan Awam dan Epidemiologi berpendapat, Mpox merebak melalui kontak rapat yang berpanjangan, lebih mudah dikenal pasti gejala atau tanda dan tidak mudah menular dalam persekitaran sosial yang biasa seperti mana COVID-19 yang mempunyai kadar kebolehjangkitan (Ro) yang lebih tinggi dan mudah menular secara titisan pernafasan dan melalui udara serta pelbagai varian.

“Walaupun Mpox mungkin tidak berlaku pandemik sebesar COVID-19, orang awam perlu berwaspada dan sentiasa mendapat maklumat serta arahan terkini daripada pihak berkuasa,” katanya.

WhatsApp Image 2024 08 28 at 9.15.00 AM

Wan Mohd Zahiruddin turut mengingatkan semua pihak untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan Mpox seperti segera berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan dan rawatan awal apabila mempunyai gejala jangkitan virus, bengkak kelenjar limfa diikuti tanda-tanda ruam.

“Elak sentuhan langsung dengan orang lain termasuk ahli keluarga apabila terdapat gejala dan lakukan pengasingan atau isolasi awal secukupnya bagi individu positif Mpox untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Kontak rapat kepada kes yang disyaki atau disahkan Mpox juga dinasihatkan menjalani pemerhatian gejala dan tanda Mpox selama 21 hari dari tarikh akhir pendedahan.

“Individu yang menjaga atau mengurus kes disyaki atau disahkan Mpox juga dinasihatkan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE), mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran yang baik, mencuci tangan dengan kerap setelah mempunyai kontak dengan individu yang dijangkiti dan mengelak daripada melakukan sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti,” ulasnya lanjut.

Menurut beliau lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersedia dalam menghadapi jangkitan Mpox berbekalkan pengalaman menangani pandemik COVID-19 yang lalu.

“Buat masa sekarang, pemantauan dan kad amaran kesihatan (health alert card) dibuat di semua pintu masuk antarabangsa terutama bagi mereka yang pulang daripada negara yang dilaporkan terdapat jangkitan Mpox.

“Penasihatan perjalanan untuk pengembara ke negara terlibat agar mengambil langkah berjaga-jaga juga dilakukan untuk menangani masalah ini,” katanya.

Wan Mohd Zahiruddin turut menasihatkan orang awam agar mendapatkan info yang sahih berhubung jangkitan Mpox dan tidak menyebarkan apa-apa maklumat yang tidak sahih agar tidak mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai.

“Penyebaran info kesihatan tentang kaedah penularan dan langkah-langkah pencegahan serta fakta yang benar berkaitan Mpox kepada orang awam adalah amat penting.

“Ini kerana komunikasi risiko yang berkesan antara pihak berkuasa dengan orang awam dapat mengurangkan kebimbangan serta berupaya mengawal penyakit ini dengan jayanya sekiranya ada penularan atau wabak tempatan,” jelasnya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 25