Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

MENUJU NEGARA MENUA, PERTINGKATKAN KEFAHAMAN DEMENSIA DALAM MASYARAKAT

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Julai 2024 – Demensia atau lebih dikenali sebagai ‘nyanyuk’ merupakan sindrom yang melibatkan kemerosotan atau penurunan fungsi otak yang memberi kesan kepada kehidupan harian pesakit. Ia berlaku secara perlahan-lahan serta mengakibatkan seseorang itu tidak berupaya untuk menguruskan diri sendiri.

‘Alzheimer’s Disease International’ menganggarkan terdapat 123,000 orang yang mengalami demensia di Malaysia pada tahun 2015 dan ia dijangka meningkat dua (2) kali ganda pada tahun 2030 dan bertambah kepada 590,000 pada tahun 2050.

Menurut statistik 'Malaysian National Health and Morbidity Survey 2018: Elderly Health', seramai 8.5 peratus (%) rakyat Malaysia mempunyai demensia.

IMG 20240729 WA0015

Menurut Pensyarah dan Pakar Perubatan Geriatrik, Jabatan Perubatan Penyakit Dalam, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Nurbaya Mohd Nawi, sindrom demensia sering dikaitkan dengan proses penuaan. Namun, ia bukan perkara yang normal dalam proses penuaan.

“Demensia adalah satu sindrom, maka terdapat beberapa penyebab yang boleh mengakibatkan seseorang mengalami kemerosotan fungsi otak tersebut seperti ‘Alzheimer Disease’, ‘Vascular Dementia’, ‘Lewy Body Dementia’ dan ‘Frontotemporal Dementia’, Parkinson dan banyak lagi.

“Faktor risiko yang menyebabkan seseorang mendapat demensia selain daripada usia tua ialah disebabkan faktor genetik serta beberapa faktor lain yang boleh diubah seperti penyakit-penyakit kronik contohnya darah tinggi, diabetes dan kolesterol yang tinggi,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Siti Nurbaya berkata, simptom demensia kebiasaannya boleh dikesan apabila pesakit sulit dalam mengingat informasi atau memori perkara yang baharu berlaku.

“Selain daripada kemerosotan memori jangka masa pendek, pesakit juga boleh menunjukkan perubahan perilaku atau personaliti, menghadapi masalah apabila bercakap dan sukar mencari perkataan yang sesuai untuk memulakan percakapan.

“Ada juga pesakit yang hilang keupayaan untuk mengingati lokasi yang boleh menyebabkan mereka tersesat kerana tidak dapat mengenal pasti keberadaannya,” jelasnya lanjut.

Tambah Siti Nurbaya, pemeriksaan dan siasatan akan dilakukan bagi mengetahui dan memastikan pesakit mengalami kemerosotan fungsi otak dengan mendapatkan pengesahan sejarah pesakit daripada ahli keluarga, ujian memori, ujian darah dan imbasan otak.

“Terdapat rawatan yang boleh diberikan kepada pesakit iaitu menggunakan ubat untuk membantu simptom demensia dengan menambah baik sedikit memori dan fokus pesakit, melakukan aktiviti harian supaya demensia tidak melarat dengan cepat.

“Namun, buat masa ini tiada rawatan yang dapat memulihkan demensia secara penuh dan pemantauan setiap tiga (3) hingga enam (6) bulan akan dilakukan bergantung kepada respon terhadap rawatan dan perkembangan pesakit,” ulasnya.

Beliau berkata, keprihatinan masyarakat terhadap demensia amat penting kerana negara kita menuju ke arah negara menua.

“Semua pihak perlu lebih cakna dan mengambil tahu mengenai simptom-simptom demensia agar pemeriksaan, siasatan dan rawatan dapat diberikan seawal mungkin.

“Kita juga harus mengambil tahu mengenai faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat demensia agar langkah-langkah yang sepatutnya dapat diambil bagi mengurangkan risiko seseorang untuk mendapat demensia,” katanya.

Siti Nurbaya turut menyeru masyarakat untuk lebih peka akan keperluan dan sokongan yang diperlukan oleh individu yang mengidap demensia agar keperluan mereka dapat dipenuhi supaya mereka mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dan bermakna.

“Ambil perhatian dengan setiap keperluan seseorang individu yang mempunyai demensia sekiranya ada dalam kalangan ahli keluarga dan cuba penuhi keperluan mereka supaya kualiti hidup mereka lebih terjamin,” ujarnya lagi.

Teks: R. Alia Fazni R. Azmi/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 18