‘MASTERSCAN’: USM JADI TUAN RUMAH PASCA PANDEMIK COVID-19
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Jun 2024 - Buat julung kalinya, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Jabatan Kecemasan, Hospital USM menjadi tuan rumah dalam penganjuran pertandingan ‘MasterScan’ 2024: Battle of the Sound’ yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, semalam.
Penganjuran program yang telah masuk tahun ketiga sejak diadakan pada 2018 ini juga merupakan penganjuran pertama selepas pandemik COVID-19.
Pertandingan ini bertujuan menggalakkan keinginan untuk memantapkan pengetahuan dalam bidang ‘ultrasound’ serta meningkatkan daya saing yang sihat dalam kalangan pegawai-pegawai perubatan di jabatan klinikal di hospital-hospital seluruh Malaysia.
Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman berkata, beliau sangat berbangga apabila USM dipilih sebagai tuan rumah pada kali ini.
“Pertandingan seumpama ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran malahan secara tidak langsung memperkenalkan teknologi ‘ultrasound’ yang lebih canggih dan semakin meluas penggunaannya.
“Hari ini kita menyaksikan 20 pasukan yang bertanding melibatkan hospital daripada seluruh Malaysia. Tidak kira menang atau kalah, saya berharap agar semua peserta dapat membawa pulang sebuah pengalaman yang berharga dan semangat untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan masing-masing," katanya ketika merasmikan pertandingan tersebut.
Ujarnya lagi, sejarah kecemasan dan klinikal telah bermula sejak awal tahun 1980-an ketika teknologi ‘ultrasound’ semakin mudah digunakan dan peralatan ultrasound yang lebih mudah alih diperkenalkan dalam amalan perubatan.
"Ketika itu, penggunaan ‘ultrasound’ di luar Jabatan Radiologi masih terhad kepada aplikasi untuk pesakit bidang Obstetrik dan bidang Perubatan Kecemasan sendiri belum lagi menjadi satu cabang khusus dalam fraterniti perubatan.
“Namun, pada pertengahan hingga akhir tahun 1980-an, doktor-doktor yang mengendalikan kes trauma di beberapa hospital mula melihat potensi penggunaan ‘ultrasound’ dalam menangani kecederaan trauma dan keadaan darurat lain.
“Pada lewat tahun 1990-an, penggunaan ‘ultrasound’ dalam bidang klinikal semakin meluas terutamanya dengan munculnya konsep ‘emergency ultrasound’ atau ‘point-of-care ultrasound’ (POCUS),” jelas Nik Hisamuddin.
Tambahnya, doktor kecemasan yang dilatih khusus menggunakan ‘ultrasound’ mula mengintegrasikan teknologi ini ke dalam penilaian pesakit secara langsung di tempat itu, tanpa perlu mengalihkan pesakit ke bahagian lain hospital untuk pemeriksaan radiologi.
Pada pertandingan kali ini, Hospital Temerloh, Pahang menjuarai pertandingan manakala tempat kedua pula dirangkul oleh Hospital Sungai Buloh, Selangor dan tempat ketiga menjadi milik Hospital Melaka.
Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Jabatan, Jabatan Kecemasan, Hospital USM merangkap Pengarah Program ‘Fellowship of Critical and Emergency Ultrasound’ USM, Profesor Madya Dr. Shaik Farid Abdull Wahab; Pakar Runding Perubatan Kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun merangkap Timbalan Pengerusi ‘Society of Critical and Emergency Sonography Malaysia’ (SUCCES), Dr. Azma Haryaty Ahmad dan Pengarah Bersama, Pertandingan MasterScan 2024: Battle of the Sounds, Dr. Wan Syahmi Wan Mohamad dan Penolong Profesor Dr. Mohd Iman Saiful Suhardi.
Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 25