MAJLIS APRESIASI RAI PENGANJUR DAN PENDERMA DARAH HOSPITAL USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Oktober 2023 – Bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan para penderma dan penganjur program derma darah sebagai tonggak dalam menjamin kesejahteraan pesakit dan kesudian untuk menderma darah kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Unit Perubatan Transfusi dengan kerjasama Jabatan Hematologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Penganjur dan Penderma Darah 2023.
Majlis tersebut juga bertujuan merai dan menzahirkan penghargaan kepada para penganjur dan penderma darah yang banyak membantu dalam memastikan kestabilan bekalan darah di Hospital USM sentiasa mencukupi.
Menurut Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital USM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria, statistik penggunaan darah di Hospital USM menunjukkan peningkatan daripada sekitar 10,000 setahun kepada 12,000 setahun.
“Pertambahan ini adalah sejajar dengan pertambahan unit-unit kritikal seperti Unit Kardiotorasik, Unit Hepatobiliari dan juga Unit Rawatan Kritikal di Hospital USM.
“Unit-unit ini dapat berfungsi secara optimum adalah kerana kesudian dan jasa baik semua pihak yang menderma darah kepada para pesakit hospital kami,” ujarnya semasa berucap merasmikan majlis tersebut, hari ini.
Zaidi berkata, pengurusan Hospital USM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memberi khidmat dan komitmen kerana Hospital USM tidak mungkin dapat berfungsi secara sempurna tanpa sokongan yang padu dari semua pihak.
“Saya berharap agar majlis seumpama ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun akan datang bagi mengeratkan jalinan kerjasama antara para penderma darah, penganjur program derma darah dan Hospital USM selain terus menjadi tunjang utama bagi memastikan kestabilan stok darah dalam keadaan yang baik,” katanya.
Seramai 87 orang penderma darah setia dan 72 penganjur program derma darah diraikan dalam majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Jabatan Hematologi, PPSP yang juga Ketua Unit, Unit Perubatan Transfusi, Hospital USM, Profesor Madya Dr. Rosnah Bahar; Pensyarah Hematologi, PPSP merangkap Penasihat Majlis Apresiasi Penganjur dan Penderma Darah 2023, Profesor Madya Dr. Haslina Md Noor serta Ketua Program Majlis Apresiasi Penganjur dan Penderma Darah 2023, Dr. Nur Ilyla Syazwani Saidin.
Teks: Marlina Zahari / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 55