Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

MADU KELULUT ‘SUPERFOOD’ ERA PERUBATAN MODEN

KOTA BHARU, KELANTAN, 28 Januari 2023 - Perkembangan kajian saintifik menunjukkan madu kelulut mengandungi pelbagai bahan unik yang penting untuk dijadikan makanan berfungsi bagi membantu kesihatan malahan telah diangkat sebagai 'superfood' di Malaysia.

Kandungan bahan antioksida seperti asid fenolik dan flavonoid, bahan asid amino, bakteria baik serta vitamin menjadikan madu kelulut sebagai makanan lengkap untuk keperluan nutrien harian.

Kehadiran gula unik iaitu gula trehalulosa menjadikan ianya 'low glycaemic' dan menjadi gula alternatif yang tidak merosakkan gigi.

IMG 20240128 WA0038

Pensyarah Kanan, Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zulkifli Mustafa berkata, madu kelulut diketengahkan sebagai makanan berkhasiat dan suplemen tambahan yang membantu pertumbuhan otak kanak-kanak, meningkatkan sistem imun badan, mengawal tekanan emosi dan pencegahan nyanyuk dalam kalangan warga emas.

"Asas kelebihan dan kebaikan madu terdiri daripada tiga (3) aspek iaitu kandungan, khasiat dan kualiti.

“Khasiat perubatan yang telah dikaji ialah madu kelulut dapat meredakan keradangan akibat jangkitan kuman, stres, obesiti dan penuaan serta penyakit kronik.

“Kelebihan madu kelulut pula ialah pengeluarannya dibuat secara berprosedur yang menjamin kualiti dan konsistensi hasil," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan sembang sihat, Kelantan FM.

Menurut Zulkifli, secara amnya, madu kelulut mempunyai ciri fizikal yang lebih cair dengan rasa masam manis yang unik dengan aroma bunga atau buah.

"Madu adalah makanan lengkap dalam aspek tenaga, protein, vitamin, bakteria baik dan antioksida.

"Melalui kajian, pengambilan madu boleh membantu dalam pencegahan penyakit kronik yang tidak berjangkit akibat gaya hidup mahupun akibat jangkitan," ujarnya.

Zulkifli turut menjelaskan bahawa cabaran terbesar industri madu kini adalah kehadiran madu tiruan yang mencecah 90 peratus (%) di pasaran.

"Oleh itu, bagi mengenal madu asli, ujian makmal diperlukan.

"Madu yang dikomersilkan dari projek penyelidikan madu kelulut USM dihasilkan melalui pelan strategik melibatkan pembangunan penternak seramai 4,000 orang di bawah inisiatif KELULUNOMIC bagi menjamin bekalan berterusan dan dipasarkan melalui syarikat 'spin-off' universiti iaitu Brainey Sdn Bhd.

"Kawalan kualiti yang ketat menjamin keaslian dan konsitensi zat madu yang digunakan dalam ujian-ujian klinikal dimana madu yang diuji ini dikeluarkan kepada pengguna," ulasnya lagi.

Teks: R. Alia Fazni R. Azmi / Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 108