MAAL HIJRAH 1445H : USM SERU WARGA KAMPUS SUBURKAN PERPADUAN DAN JAYAKAN TRANSFORMASI GOLONGAN TERKEBAWAH
USM, KUBANG KERIAN, 7 OGOS 2023 - Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah merupakan salah satu peristiwa besar dalam usaha Rasulullah SAW menyebarluas agama Islam.
Hijrah yang dituntut pada diri kita pada hari ini adalah menzahirkan perubahan daripada melakukan perbuatan mungkar dan buruk kepada perbuatan makruf dan baik.
Timbalan Pengarah (Klinikal), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Zaidi Zakaria, berkata, tuntutan hijrah dalam memberi manfaat dan kebaikan ini selari dengan agenda 'Accelerated Programme for Excellence' (APEX).
“Agenda USM APEX yang dilihat selari dengan tuntutan hijrah ialah menjayakan tranformasi golongan terkebawah dalam masyarakat melalui pelbagai kajian rentas bidang yang telah diterokai oleh pasukan USM agar dapat meningkatkan sosioekonomi dan kelestarian hidup mereka.
“Jika kita adaptasi ibrah hijrah ini, kita di USM juga telah mengecapi pelbagai kejayaan seperti penarafan universiti APEX, pencapaian tempat ke-4 dunia dalam impak ranking untuk dua (2) tahun berturut turut serta ranking dunia yang semakin meningkat.
“Semestinya, semua kejayaan ini dicapai hasil perancangan dan kerja secara berpasukan,” ujarnya ketika berucap mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kampus Kesihatan USM 1445H.
Tambah Zaidi, dalam menghayati makna hijrah, kita hendaklah menguatkan iltizam dan ketabahan hati serta bersifat ihsan untuk meneruskan kehidupan dalam mendepani cabaran dan ujian walau apa jua bidang yang kita lalui.
“Melalui hijrah Rasulullah SAW juga dapat kita lihat bahawa perpaduan memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda penyebaran Islam.
“Seluruh warga USM wajar menghayati agenda ‘Membangun Malaysia Madani’ yang memfokuskan perpaduan kaum dalam membina negara Malaysia yang tercinta,” jelasnya lagi.
Menurut Zaidi, warga Kampus Kesihatan juga dituntut untuk mengaplikasi enam (6) teras Madani dalam membangunkan USM.
“Contohnya, sebagai seorang pensyarah perlu menjayakan penyelidikan berstrategi yang mampan dan berdaya cipta, sebagai pentadbir mestilah hikmah dalam menyusun langkah mencapai kesejahteraan dalam gerak kerja berpasukan, sebagai pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya meneroka inovasi baru, sebagai seorang pekerja, bekerjalah dengan tekun , sebagai seorang peniaga, berniagalah dengan jujur dan sebagai seorang insan marilah sama-sama kita bersikap hormat dan ihsan terhadap individu atau makhluk yang lain,” katanya.
Zaidi turut berharap agar semua warga Kampus Kesihatan dapat menghijrahkan diri menjadi individu yang lebih baik dari hari ke hari dalam segenap aspek kehidupan sama ada di rumah, tempat kerja ataupun di mana sahaja mereka berada.
Majlis Sambutan Maal Hijrah pada tahun ini turut dimeriahkan dengan kehadiran penceramah jemputan iaitu Timbalan Dekan (Hal Ehwal Jaringan Industri Masyarakat), Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dato’ Dr. Izhar Ariff Mohd Kashim yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Wan Rosli Wan Ishak; Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Latihan Ikhtisas), Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Irfan Mohamad; Timbalan Pengarah (Instrastruktur Dan Aset), Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan, Amira Abd Sattar @ Ismail.
Teks : Wan Nor Azlin Wan Azlan / Foto : Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Last updated on .
- Hits: 56