Skip to main content

Hospital USM  |  Kampus Kesihatan

LELAKI MASKULIN PERLU SEIMBANGKAN GAYA DAN KESIHATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 April 2024 - Kesihatan lelaki atau ‘Men’s health’ merupakan salah satu cabang kesihatan yang bertujuan mempromosi dan merawat masalah kesihatan yang sering dihidapi oleh kaum lelaki.

Kaum lelaki didapati jarang mengambil berat tentang penjagaan kesihatan dan sering mengambil mudah tentang tahap kesihatan mereka.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan Pelan Tindakan Kesihatan Lelaki Kebangsaan pada tahun 2019 bertujuan untuk memastikan kesaksamaan dan kesamarataan dalam perkhidmatan kesihatan yang meluas di Malaysia.

Pelan ini menggariskan strategi dan matlamat untuk memastikan bahawa lelaki di seluruh Malaysia mempunyai bantuan dan sokongan yang diperlukan untuk sihat secara fizikal dan mental serta memfokuskan enam (6) isu utama kesihatan lelaki iaitu kesihatan mental, ‘benign prostatic hyperplasia’, kanser prostat, ‘erectile dysfunction’ (ED) dan faktor risiko penyakit kardiovaskular (diabetes mellitus - DM), ‘hypertension’ (HPT), obesiti, ‘hypercholesterolemia’.

IMG 20240423 WA0011

Menurut Pakar Perubatan Keluarga, Unit Klinikal, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Wan Mohd Nazlee Wan Zainon, kesihatan lelaki penting bagi mengetengahkan masalah kesihatan yang sering dihidapi oleh golongan lelaki seperti mati pucuk, masalah kesuburan, kesihatan mental serta gaya hidup tidak sihat seperti merokok dan sebagainya.

“Kajian menunjukkan kaum lelaki mempunyai jangka hayat yang lebih pendek dan kadar kematian lebih tinggi jika dibandingkan dengan perempuan.

“Menurut Jabatan Statistik Malaysia, lelaki yang lahir pada tahun 2017 diunjurkan akan hidup sehingga 72.7 tahun manakala perempuan yang lahir pada tahun yang sama diunjurkan akan hidup sehingga 77.4 tahun. Kadar kematian lelaki yang berusia 15 hingga 65 tahun pula adalah dua (2) kali ganda lebih tinggi daripada kaum perempuan,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Wan Mohd Nazlee berkata, kaum lelaki didapati jarang menjaga kesihatan dan tidak mengesan penyakit pada peringkat awal.

“Orang lelaki kebiasaannya dianggap maskulin dan tahan lasak (tough). Selalunya mereka tidak peduli tentang sakit yang mereka alami kerana mahu dianggap jantan dan kebanyakan mereka hanya datang ke hospital setelah mengalami masalah kesihatan yang teruk seperti sakit jantung ataupun strok.

“Kaum lelaki juga didapati lebih ramai mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, menghisap ‘vape’, minum arak serta sering terlibat dengan aktiviti yang berbahaya seperti lumba haram dan sebagainya.

“Hal ini turut menyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit dan jumlah kematian dalam kalangan kaum lelaki,” jelasnya lagi.

Tambah Wan Mohd Nazlee, disfungsi ereksi atau mati pucuk merupakan salah satu masalah yang dialami oleh lelaki daripada pelbagai peringkat umur dan sering disalah faham bahawa ia terjadi secara semula jadi akibat faktor penuaan.

“Penyebab utama masalah mati pucuk ialah disebabkan oleh penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.

“Penyakit kardiovaskular ini menyebabkan terjadinya penyumbatan saluran darah ke zakar (arterosclerosis) yang akhirnya menyukarkan ereksi terjadi. Statistik di Malaysia menunjukkan bahawa 80.4 peratus (%) mati pucuk berlaku dalam kalangan pesakit kencing manis dan sakit jantung manakala 80% pesakit terdiri daripada pesakit darah tinggi.

“Kajian terbaharu juga menunjukkan kaitan mati pucuk dan masalah jantung. Pesakit yang mengalami mati pucuk akan mengalami masalah sakit jantung dalam masa dua (2) hingga tiga (3) tahun sekiranya tidak dirawat puncanya,” jelasnya lanjut.

Beliau berkata, apabila berbicara mengenai masalah kesuburan, ramai yang menganggap bahawa ia salah kaum wanita.

“Namun, adalah penting untuk difahami bahawa ketidaksuburan boleh disebabkan oleh faktor yang berkaitan dengan kedua-dua pihak iaitu lelaki dan wanita.

“Faktor lelaki menyumbang kepada kira-kira separuh daripada semua kes infertiliti bermula daripada masalah penghasilan, kualiti atau pergerakan sperma yang membuatkan pasangan sukar untuk hamil. Kesihatan sperma penting untuk hamil kerana kualiti dan kuantiti sperma memainkan peranan penting dalam kesuburan.

“Beberapa pilihan gaya hidup boleh memberi kesan kepada kesuburan lelaki. Faktor seperti merokok, pengambilan alkohol berlebihan, penyalahgunaan dadah, obesiti dan pendedahan kepada toksin alam sekitar boleh mempengaruhi kesihatan sperma,” katanya.

Jelas Wan Mohd Nazlee lagi, menghisap rokok atau ‘vape’ boleh memberi kesan serius dan negatif kepada kesihatan seksual lelaki.

“Merokok merosakkan saluran darah dan mengurangkan aliran darah di seluruh badan termasuk zakar. Hal ini menyebabkan masalah prestasi seksual.

“Bahan kimia dalam rokok dan cecair ‘vape’ boleh mengganggu pengeluaran hormon dan aktiviti ‘neurotransmitter’ dalam otak yang boleh mengurangkan keinginan dan rangsangan seksual,” ulasnya lanjut.

Wan Mohd Nazlee turut menyarankan kaum adam untuk membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali dan hapuskan stigma lelaki lemah jika meminta atau mendapatkan bantuan.

Teks: R. Alia Fazni R. Azmi/ Reka Grafik: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Last updated on .
  • Hits: 97